BMW 330e dan BMW X5 xDrive40e Edisi M Performance.
BMW 330e dan BMW X5 xDrive40e Edisi M Performance.
Mohd Razlan Salleh

BMW Malaysia melancarkan dua jentera eksklusif BMW 330e dan X5 xDrive40e Edisi M Performance khusus kepada pelanggan yang mahu merasai pengalaman pemanduan terunggul.

Edisi istimewa untuk peminat tegar sukan permotoran hanya ditawarkan sebanyak 300 unit saja pada harga RM258,000 bagi BMW 330e Edisi M Performance manakala BMW X5 xDrive40e Edisi M Performance dijual pada harga RM390,800.

Pengarah Urusan BMW Group Malaysia Harald Hoelzl berkata, pihaknya sentiasa mencari jalan meningkatkan tahap eksklusif kenderaan premium dan pada masa sama memelihara dinamik serta prestasi pemanduan jenama BMW.

“Kedua-dua model ini digemari peminat kenderaan dan dipilih melalui proses teliti dan didatangkan bersama komponen BMW M Performance daripada hasil inspirasi sukan permotoran.

“Kami berbangga untuk menzahirkan pengalaman sukan permotoran di jalan raya untuk pelanggan menerusi ciri dinamik sempurna dan merasai sendiri DNA sukan permotoran BMW di jalan raya,” katanya.

BMW 330e Edisi M Performance

BMW 3 Series Hybrid yang ditambah baik didatangkan dengan Teknologi eDrive dan kini tampil dengan aerodinamik serta estetika yang lebih sporty merangkumi komponen M Performance seperti skirt sisi, kerajang ambang sisi (side sill foils) dan gril hadapan dalam warna glos hitam serta pelitup cermin sisi ‘M Performance Carbon’ yang ringan.

Jentera ini dilengkapi pemasangan kit hadapan dalam warna Hitam Matt, spoiler belakang dan peresap (diffuser) belakang, di samping lampu belakang M Performance gelap dan agresif.

Ruang dalaman jentera ini menampilkan pedal dan pedal M Performance diperbuat daripada keluli tahan karat.

BMW 330e Edisi M Performance ditawarkan pilihan warna menarik iaitu oren, hitam, biru dan putih sementara ruang dalaman dipadankan dengan material kulit ‘Black Dakota’.

Dengan program ‘Easy Drive’ ditawarkan BMW Group Financial Services Malaysia, BMW 330e Edisi M Performance boleh dimiliki dengan pelan ansuran bulanan bermula RM3,278.

BMW X5 xDrive40e Edisi M Performance

BMW X5 xDrive40e Edisi M Performance yang eksklusif didatangkan dengan komponen M Performance seperti skirt sisi, kerajang ambang sisi, dan gril hadapan berwarna glos hitam serta pelitup karbon M Performance Carbon pada cermin sisi.

Bahagian hadapan kenderaan dilengkapi kit diperbuat daripada karbon, manakala spoiler dalam warna glos hitam dan peresap karbon dipasang pada bahagian belakang.

Pedal diperbuat daripada keluli tahan karat menambah elemen sukan permotoran.

Jentera BMW X5 xDrive40e Edisi M Performance boleh didapati dalam warna hitam, putih dan kelabu bersama material ruang dalaman kulit ‘Black Dakota’ selain kulit ‘Terra Dakota’.

Program ‘Easy Drive’ membolehkan model ini dimiliki dengan pelan ansuran bulanan bermula RM4,878.

Pemilik Edisi BMW M Performance juga boleh menikmati pengalaman Pemilikan Premium ditawarkan BMW Group Malaysia merangkumi waranti perbatuan tanpa had selama lima tahun, Program Servis Berjadual Percuma, Program Waranti Tayar 24 Bulan, Bantuan Tepi Jalan dan Hotline Kemalangan.

Sementara itu, sempena meraikan Tahun Baharu Cina, BMW Malaysia turut memberi tawaran menarik seperti promosi, rebat dan solusi pembiayaan bermula daripada 0.88 peratus bagi pelbagai rangkaian model BMW, berakhir pada 31 Mac 2019.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 Februari 2019 @ 6:03 AM