Tentera Filipina menurunkan mayat anggota Abu Sayaf dari atas lori selepas pertempuran di Patikul, Sulu. - Foto EPA
Tentera Filipina menurunkan mayat anggota Abu Sayaf dari atas lori selepas pertempuran di Patikul, Sulu. - Foto EPA
Agensi

Manila: Kumpulan militan Abu Sayyaf membunuh 15 tentera Filipina, dua daripadanya dipenggal dalam pertempuran sengit di kubu kuat kumpulan itu di Patikul, kira-kira 10 kilometer dari Jolo, bandar utama wilayah Sulu, semalam.

Antara yang terbunuh termasuk seorang pegawai berpangkat leftenan muda dan sejumlah lagi tentera cedera dalam pertempuran selama lebih dua jam itu sebelum kumpulan Abu Sayyaf berundur jauh ke dalam hutan.

Jurucakap tentera Filipina di Manila, Kolone Edgard Arevalo, berkata dianggarkan kira-kira 120 anggota Abu Sayyaf yang lengkap bersenjata terbabit dalam pertempuran itu namun jumlah musuh yang terbunuh tidak dapat dipastikan.

Pemerintah wilayah Mindanao tentera Filipina, Mejar Filemon Tan, berkata 40 anggota Abu Sayyaf terbunuh dengan 22 dalam beberapa pertempuran di Sulu manakala 18 lagi di Basilan.

Dianggarkan Abu Sayyaf mempunyai antara 400 hingga 500 anggota.

Antara yang terbunuh ialah tiga pemerintah kanan Abu Sayyaf iaitu Mohammad Said @ Ama Maas, Latip Sapii dan Sairulla Asbang yang mayat mereka ditemui dalam kubur cetek di Talipao.

Presiden Filipina Rodrigo Duterte berkata: “Arahan saya kepada polis dan tentera ialah cari dan musnahkan mereka... cari Abu Sayyaf, hapuskan mereka.”

Beliau menegaskan tiada ruang untuk rundingan dengan Abu Sayyaf seperti gencatan senjata dengan pemberontak komunis minggu lalu.

Setiausaha Pertahanan Delfin Lorenzana yang memberitahu lima lagi batalion akan dihantar ke Sulu berkata: “Kami akan menggerakkan pasukan penuh tentera, operasi habis-habisan terhadap Abu Sayyaf. Kami tambah lima lagi batalion, kira-kira 25,000 askar.”

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 Ogos 2016 @ 4:41 PM