Kuala Lumpur: Mohd Zaqhwan Zaidi memulakan Pusingan 5 Kejuaraan Motosikal Asia PETRONAS dengan nada positif apabila mencatat masa kedua terpantas pada sesi latihan masa SuperSports 600cc di Litar Antarabangsa Chang, Thailand semalam.

Pelumba Musashi Boon Siew Honda Racing itu dilihat mendahului sesi latihan bebas ketiga (FP3) sebelum dipintas pelumba tuan rumah, Suhathai Chaemsup (Thai Honda Racing Thailand) pada minit terakhir.

Walaupun sedikit kecewa, Zaqhwan akur dengan catatan 1'40.678s manakala Suhathai mendahului sesi latihan bebas dengan 1'40.621s, perbezaan 0.057 saat.

Apiwat Wongthananon melengkapkan senarai tiga pelumba terbaik dengan 1'40.731s diikuti bekas pelumba Moto2, Tomoyoshi Koyama keempat dan Jakkrit Swangswat kelima.

"Kami menggunakan tayar lama pada sesi latihan terakhir jadi cengkaman tidak begitu baik dan Suhathai mengambil kesempatan untuk memintas dan merekodkan masa lebih baik," kata Zaqhwan.

"Namun saya tetap bersyukur kerana jurang masa di antara kami tidak begitu ketara dan berharap jurutera pasukan boleh menyediakan pelarasan lebih mantap bagi membolehkan saya merebut petak hadapan dalam sesi kelayakan esok."

Sementara itu Gupita Kresna (Kawasaki KYT Rextor Manual Tech) mendahului sesi latihan Underbone 130cc dengan 2'08.123s.

Wakil Malaysia, Norizman Ismail (Harian Metro Y-TEQ SCK Honda Racing) kedua terbaik diikuti Mohd Amirul Ariff Musa (T Pro Yuzy Honda NTS) ketiga.

Khairul Idham Pawi sekali lagi mempamerkan aksi cemerlang apabila dia mendominasi sesi latihan bebas Asia Dream Cup dengan catatan 2'06.579s, 0.908 saat lebih pantas berbanding pencabar terdekat, Syunya Mori dari Jepun.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 November 2014 @ 5:02 AM