DR Prashant (kiri) dan Perunding Obstetrik, Ginekologi dan Pakar Kesuburan, Pusat Perubatan Sunway (SunMed), Dr P Kannappan pada perbincangan meja bulat masalah kesuburan.
DR Prashant (kiri) dan Perunding Obstetrik, Ginekologi dan Pakar Kesuburan, Pusat Perubatan Sunway (SunMed), Dr P Kannappan pada perbincangan meja bulat masalah kesuburan.
Rosyahaida Abdullah


Lumrahnya, setiap wanita dilahirkan dengan sepasang ovari yang berfungsi menghasilkan telur atau ovum. Organ pembiakan itu amat penting dalam menyokong potensi kehamilan.

Bagaimanapun pada masa kini, endometriosis, fibroid dan cyst antara masalah yang sering muncul dalam kalangan wanita hinggakan ada kalanya ia menjejaskan fungsi ovari.

Ada wanita yang terpaksa berdepan situasi apabila sebahagian atau sebelah ovari dibuang menerusi pembedahan akibat terjejas teruk kesan daripada masalah terbabit.

Dalam keadaan begitu, wanita berkahwin khususnya yang menunggu kehadiran cahaya mata mula berputus harap dan menganggap peluang itu sudah terkubur.

Pengarah Perubatan Pusat Kesuburan Kuala Lumpur, Datuk Dr Prashant Nadkarni, berkata peluang menimang cahaya mata masih wujud selagi wanita terus berikhtiar dan melakukan pemeriksaan secara konsisten.

Jelas beliau, bagi wanita yang memiliki satu ovari ditambah pula dengan usia sudah menjangkau 30-an, perlunya kehamilan disegerakan tanpa ada hasrat untuk berbulan madu terlebih dulu.

“Kebiasaannya, pasangan berkahwin yang tidak ‘merancang’ akan memperoleh anak dalam tempoh dua tahun pertama perkahwinan. Selepas tempoh itu, boleh dianggap pelik jika belum hamil. Oleh itu suami dan isteri perlu melakukan pemeriksaan doktor.

“Inikan pula wanita yang mempunyai hanya satu ovari, tentulah lebih kritikal untuknya menyegerakan kehamilan kerana apabila ovari berkurang, jumlah telur yang akan disenyawakan bersama sperma turut berkurang,” katanya.

Bercakap kepada pemberita selepas Sesi Meja Bulat Mengenai Kesuburan dan IVF di Malaysia Bersama Media di Mutiara Damansara, Petaling Jaya, baru-baru ini, Dr Prashant bagaimanapun mengakui satu ovari sudah cukup untuk membawa kepada kehamilan.

Namun jelasnya, ovari itu mestilah sihat dan berfungsi dengan baik untuk membolehkan persenyawaan berlaku dengan sempurna.

“Wanita lahir bersama semua telurnya dan melalui kitaran haid setiap bulan. Apabila hamil, kitaran haid akan terhenti jadi telur atau ovum tidak akan terbuang.

“Begitu juga dengan sel endometriosis misalnya, ia akan mengecut sepanjang sembilan bulan kehamilan dan beberapa bulan lagi tempoh menyusu selepas bayi dilahirkan. Sel itu mengecut dan terus mati.

“Apa yang menjadi masalah apabila wanita melambatkan kehamilan, dia akan terus melalui kitaran haid untuk membuang telur yang tidak disenyawakan begitu saja. Apabila telur semakin berkurang, kesuburan juga terus menurun.

“Malah jika dia terus datang haid, sel terbabit juga membesar setiap bulan. Ia cukup bahaya bukan saja dari segi kehamilan tetapi kesihatan badan wanita itu sendiri,” katanya.

Mengulas lanjut, Dr Prashant berkata, setahun adalah tempoh maksimum berdiam diri buat wanita yang pernah menjalani pembedahan pada bahagian perut.

Baik masalah cyst, fibroid atau apa saja berkaitan organ gynae (sakit puan), beliau melihat keperluan untuk segera berjumpa pakar sakit puan sekiranya isteri masih tidak mengandung selepas tempoh itu.

Ini kerana, katanya, ketika pembedahan dilakukan wujud komplikasi umpama ketumbuhan dikenali sebagai adhesion iaitu darah dalam perut boleh menyebabkan tisu di sekitarnya melekat.

Keadaan terbabit jelasnya, mungkin tidak berlaku serta-merta selepas pembedahan, namun muncul sedikit demi sedikit yang boleh dikesan kini.

“Disebabkan pembedahan itu, kadangkala usus akan melekat pada tiub fallopio, atau tiub fallopio akan melekat pada rahim, rahim melekat pada ovari, atau bermacam-macam keadaan lagi.

“Apabila keadaan itu berlaku, boleh jadi ia menghalang fungsi organ terbabit misalnya menghalang telur memasuki tiub fallopio atau menghalang tiub fallopio daripada mencari telur, atau juga menjadikan tiub fallopio tersekat.

“Sebab itu, jumpa doktor sakit puan dan lakukan pemeriksaan susulan adalah kaedah terbaik buat wanita yang pernah menjalani pembedahan membabitkan organ ini untuk pastikan semuanya normal jika kita masih belum mengandung meskipun usia perkahwinan sudah mencecah setahun,” katanya.

Katanya, cyst, fibroid dan sebagainya mungkin sudah tiada selepas pembedahan, tetapi kesan sampingan tetap ada.

“Bagaimanapun, boleh jadi juga suami puncanya. Oleh itu, suami hanya perlu lakukan ujian sperma bawa air mani dari rumah, ia sangat mudah. Semakin lama, usia isteri semakin meningkat, kesuburan pula kian menurun,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 Ogos 2016 @ 5:00 AM