Oleh Ustaz Haslin Baharin

Ketika hendak tidur dua minggu lalu, tiba-tiba badan saya menggigil dan teringat kematian. Perkara ini terjadi pada Khamis malam Jumaat. Sejak itu, saya menjadi takut dan asyik berfikir mengenai kejadian itu.

Apabila tidur, saya dalam kegelisahan, selera makan turut berkurangan. Adakah itu tanda kematian atau terlalu penat, atau kerana memikirkan dosa silam pernah saya lakukan? Bagaimana untuk saya tenangkan fikiran?

HATTA

Kuala Kangsar, Perak

Tidak dapat dipastikan sama ada ia tanda kematian, kepenatan atau dosa silam melainkan anda sendiri yang mengetahuinya. Bagaimanapun, anggaplah apa yang berlaku sebagai sesuatu yang positif.

Kemungkinan ia hanya ketukan kepada pintu hidayah untuk anda supaya terus beramal dengan bersungguh-sungguh mentaati Allah Taala.

Hidayah hadir dalam pelbagai keadaan sehingga seseorang itu bertambah dekat dengan Penciptanya. Sebagaimana firman Allah Taala yang bermaksud: "Dan Allah akan menambah hidayah bagi orang-orang yang menurut jalan hidayah." (Surah Maryam :76)

Hidayah paling besar adalah al-Quran. Justeru, kembali kepada al-Quran dan syariat Islam yang sebenarnya dengan mencari alim ulama diiktiraf yang boleh memimpin saudara.

Tidak perlu gelisah, tanamkan keyakinan terhadap Allah Taala dan terus mencari hidayah yang boleh memimpin anda ke syurga yang penuh dengan nikmat, ketenangan dan kenikmatan hakiki.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Disember 2014 @ 5:03 AM