SUSPEK sindiket penipuan ‘Macau Scam’  dibawa ke Mahkamah Majistret Bukit Mertajam untuk direman. FOTO Amir Irsyad Omar
SUSPEK sindiket penipuan ‘Macau Scam’ dibawa ke Mahkamah Majistret Bukit Mertajam untuk direman. FOTO Amir Irsyad Omar
Shamsul Munir Safini


Bukit Mertajam: Sepuluh lelaki dipercayai dalang sindiket penipuan ‘Macau Scam’ direman empat hari sehingga 21 Ogos di Mahkamah Majistret Bukit Mertajam, hari ini.

Perintah tahanan reman itu dikeluarkan Majistret Nurul Rashidah Md Akit selepas kesemua mereka berusia 19 hingga 35 tahun dibawa ke sini, 2 petang tadi.

Dalam operasi 12 tengah hari semalam, 97 individu termasuk sembilan lelaki tempatan dicekup polis daripada Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman dan Pulau Pinang kerana terbabit dalam sindiket penipuan.

Kesemua mereka dicekup di tiga lokasi berasingan sekitar negeri ini termasuk banglo di Prai dekat sini.

Sindiket yang sudah beroperasi tiga bulan lalu itu akan menghubungi mangsa melalui panggilan telefon dengan menyamar sebagai polis atau Bank Negara.

Mereka kemudiannya akan menipu mangsa kononnya ahli keluarga mereka berdepan tindakan undang-undang atau bank sebelum meminta mangsa memindahkan sejumlah wang bagi menyelesaikan masalah.

Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

FOTO Amir Irsyad Omar

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Ogos 2016 @ 7:08 PM