CONCEICAO   (kiri) menang dengan keputusan sebulat suara daripada juri.
CONCEICAO (kiri) menang dengan keputusan sebulat suara daripada juri.
AFP

Rio de Janeiro: Robson Conceicao berkata, dia masih seperti bermimpi selepas muncul atlet Brazil pertama memenangi pingat emas acara tinju di temasya Olimpik dan apa yang lebih bermakna lagi ialah ia berlaku di hadapan penyokong sendiri di Rio.

Atlet yang pernah menjual sayur dan aiskrim di jalanan kerana kekangan hidup ketika zaman kanak-kanaknya itu kini menjadi wira negaranya selepas menewaskan atlet Perancis Sofiane Oumiha menerusi keputusan sebulat suara dalam pertarungan akhir yang penuh mendebarkan.

Atlet berusia 27 tahun berkata, dia berpura-pura mengalami kecederaan lengan supaya mendapat rawatan di hospital dan kemudiannya menggunakan pembalut luka itu untuk menjalani latihan tinju dan sememangnya layak menang selepas isu penghakiman dalam acara tinju berdepan kontroversi di Rio.

“Hidup saya berubah dengan kemenangan ini, ini saat yang luar biasa dalam hidup saya,” katanya.

“Saya menempuh kehidupan yang sukar jadi pingat ini bukan hanya satu kejayaan kepada diri saya tapi ia satu kejayaan buat keluarga dan semua yang membawa saya berlatih sejak saya masih kecil.

“Saya juara Olimpik jadi kehidupan saya sudah berubah. Kehadiran penonton yang luar biasa dan hari yang luar biasa.”

Brazil sebelum ini hanya memenangi satu perak dan tiga gangsa dalam acara tinju sebelum Conceicao meraih kejayaan itu dan berkata pingat itu adalah hadiah kepada anak perempuannya yang akan berusia dua tahun, Jumaat ini.

“Saya akan memberi tahu kepadanya bahawa dia adalah inspirasi terbesar saya dan saya mahu memberi hadiah paling besar kepadanya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Ogos 2016 @ 11:17 AM