Sebahagian dadah yang dirampas. FOTO Mior Azlan
Sebahagian dadah yang dirampas. FOTO Mior Azlan
Mohd Fadly Samsudin

Kuala Lumpur: Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman menahan 13 individu termasuk tujuh lelaki warga India dan Bangladesh di Lembah Klang yang terbabit sindiket syabu bernilai RM2.4juta, 13 Ogos lalu.

Ketua Penolong Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman Senior Asisten Komisioner Kang Chez Chiang berkata, Pasukan Khas Taktikal Narkotik (STING) Bukit Aman menyerbu beberapa lokasi termasuk di Ampang, Gombak, Klang dan Brickfields.

"Hasil serbuan pihak kami merampas pelbagai bahan kimia termasuk 9.3 kilogram kristal disyaki syabu, 63 liter cecair syabu serta pelbagai peralatan memproses dadah.

"Semua tangkapan berusia 22 hingga 51 tahun. Tujuh lelaki warga asing ini dipercayai menerima upah lumayan bekerja memproses dadah," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, di sini, hari ini.

Beliau berkata, pihaknya turut menyita pelbagai harta bernilai lebih RM550,000 dari ahli sindiket dadah terbabit.

"Semua suspek direman sehingga 20 Ogos ini bagi siasatan mengikut Seksyen 39(b) Akta Dadah Berbahaya 1952,"katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Ogos 2016 @ 1:32 PM