FELESE yang dapat menjalankan tiga kerja serentak.
FELESE yang dapat menjalankan tiga kerja serentak.
MOHD Nordin menunjukkan sijil dan anugerah yang dimenangi.
MOHD Nordin menunjukkan sijil dan anugerah yang dimenangi.
Nur Izzati Mohamad


Kejayaan mencipta ‘Box Leveller’ untuk meratakan tanah sehingga peralatan itu dikomersialkan pada 2009 memberi ilham kepada sekumpulan pegawai Pertubuhan Peladang Negeri (PPN) Pulau Pinang mereka cipta peralatan dinamakan ‘FeLeSe’.

FeLeSe mempunyai fungsi sama seperti Box Leveller tetapi ciri-cirinya dipertingkatkan apabila boleh juga digunakan untuk menabur benih padi dan baja.

Kebolehan itu menyaksikan FeLeSe bukan sahaja boleh menjimatkan kos upah, malah dapat mengurangkan masa petani di sawah apabila peralatan itu membantu melaksanakan tiga kerja dalam satu masa.

Ketua Unit Industri Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) Pulau Pinang Mohd Nordin Shafie yang mengetuai kumpulan PPN mencipta alat itu mula menjalankan penyelidikan selepas tercetus idea pada 2014.

Beliau berkata, pelbagai cabaran dilalui pasukannya ketika melalui proses penyelidikan dan pembangunan (R&D), namun semangat kental membolehkan mereka menyertai Konvensyen Inovasi dan Kreatif (KIK) Peringkat Kebangsaan tahun lalu dan memenangi anugerah itu.

“Bermula dari saat itu, pasukan kami yang mencipta FeLeSe mula mendapat perhatian pelbagai pihak.

“Ia terbukti apabila kami dapat menyertai pelbagai pameran inovasi di dalam dan luar negara,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di Pokok Sena, Tasek Gelugor, baru-baru ini.

Mohd Nordin berkata, pasukannya yang digelar ‘Dinamik 9’ sebelum itu pernah merangkul pingat emas di Iena, Jerman ketika mencipta ‘Box Leveller’.

Beliau berkata, inisiatif mencipta peralatan itu diambil kerana mahu menyelesaikan masalah petani konvensional yang menghadapi masalah tenaga buruh dan kekangan kewangan.

“Menyedari kesusahan petani menyebabkan kami mencipta alat merata tanah ini sekali gus dapat meningkatkan hasil padi.

“Penggunaan FeLeSe dapat mengurangkan tempoh bekerja petani. Kalau sebelum ini mereka perlu berada di sawah tujuh jam untuk meratakan tanah, tetapi menggunakan alat ini hanya mengambil masa kurang tiga jam. Ia secara tidak langsung turut menjimatkan kos upah perlu dikeluarkan petani,” katanya.

Mohd Nordin berkata, fungsi FeLeSe ditambah baik apabila kerja menyemai benih padi dapat dilakukan serentak dengan meratakan tanah dan membaja, sekali gus menjadikan taburan benih padi dan baja diseragamkan dan mengelak pembaziran.

Menurutnya, FeLeSe berupaya meningkatkan peratus pertumbuhan benih lebih baik daripada kaedah tabur terus kerana benih padi berada di permukaan sawah.

“Selain itu, kedudukan baja di bawah benih padi dapat mempercepat dan menggalakkan pertumbuhan akar. Pokok padi menjadi lebih teguh dengan akar yang banyak dan panjang.

“Kami kini dalam proses mempromosi peralatan itu kepada beberapa agensi khususnya Jabatan Pertanian sebelum dapat dikomersialkan.

“Alat ini baru mendapat hak cipta pada April lalu dan kami dalam proses membuat promosi kerana mahu meyakinkan semua pihak mengenai keberkesanannya sebelum FeLeSe berada di pasaran,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Ogos 2016 @ 12:16 PM