ABDUL Aziz menanam padi di kawasan yang tidak mampu ditanam menggunakan ‘transplanter’ di sawah Kampung Sungai Siput. FOTO Hassan Omar
ABDUL Aziz menanam padi di kawasan yang tidak mampu ditanam menggunakan ‘transplanter’ di sawah Kampung Sungai Siput. FOTO Hassan Omar
Hassan Omar


USAHA pengusaha sawah berulang alik kira-kira 460 kilometer (km) dari Sekinchan, Selangor ke Kampung Sungai Siput, Lubok Cina, Alor Gajah, sejak lima tahun lalu membuahkan hasil selepas tiga tahun.

Jika pada 2015 Abdul Aziz Abdullah, 45, terpaksa membelanjakan RM90,000 untuk membersihkan semak samun yang memenuhi tanah terbiar seluas 34.4 hektar milik anggota komuniti di kampung itu, sekarang dia mampu tersenyum mengutip pulangan membanggakan.

Abdul Aziz berkata, dia dimaklumkan mengenai tanah terbiar itu oleh rakannya yang pernah bekerja di Alor Gajah dan dia membuat tinjauan awal sebelum berbincang dengan pemilik tanah.

"Seramai 42 pemilik tanah bersetuju menyewakan tanah ini kepada saya untuk diusahakan menjadi estet padi. Usaha yang dimulakan pada 2015 memberikan peluang kepada saya menanam padi pada 2016.

"Bagaimanapun, saya tidak menghasilkan padi yang diproses menjadi beras, sebaliknya saya mengikat perjanjian dengan syarikat di Muar, Johor untuk menghasilkan benih," katanya ketika ditemui di sawahnya di Kampung Sungai Siput, hari ini.

Abdul Aziz berkata, syarikat berkenaan meminta dia menanam padi jenis MR269 yang dihasilkan melalui penyelidikan dan pembangunan (R&D) Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi).

Katanya, melalui bantuan subsidi baja dan racun, dia mengusahakan penanaman padi dua kali setahun dengan memilih benih MR269 yang mampu mengeluarkan hasil dalam tempoh 100 hari.

Kerja penyediaan tapak penanaman selama dua bulan membabitkan membajak, menjemur tanah dan putar kering sebanyak tiga kali sebelum menyalurkan air dari tali air disediakan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) ke petak sawah.

"Selepas itu saya menjalankan proses sisir, iaitu meratakan air supaya ia sekata dalam setiap petak sebelum mula menanam padi dengan menggunakan jentera 'transplanter' yang saya bawa dari Sekinchan," katanya.

Dia berkata, bagi musim pertama penanaman pada 2016, dia memperoleh 150 tan padi dan ia meningkat kepada 160 tan pada tahun berikutnya hingga sekarang.

Bagaimanapun, Abdul Aziz terpaksa menyewa jentera penuai padi dari Sekinchan untuk memastikan padi yang menguning mampu dituai dalam tempoh seminggu sebelum dibawa ke Muar.

Untuk penjualan padi yang diproses menjadi benih, beliau menerima pulangan RM1,400 satu tan berbanding RM1,200 satu tan jika menjual padi yang diproses menjadi beras.

Bagaimanapun, dia harus sentiasa memastikan tanamannya tidak dirosakkan oleh pelbagai makhluk perosak seperti siput gondang emas bagi menghasilkan padi yang benar-benar berkualiti untuk dijadikan benih.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Julai 2020 @ 4:45 PM