BERNAMA

Larut: Tiga beranak termasuk seorang remaja berumur 13 tahun ditahan di Selama semalam, kerana disyaki memiliki heroin dan syabu.

Ketua Polis Daerah Selama, Deputi Superintendan Loo Lian Lay berkata, penahanan dilakukan kira-kira 2 petang apabila si ibu yang berumur 30 tahun yang memandu kereta itu enggan memberhentikan kenderaannya setelah ditahan pihak polis.

"Anggota polis terpaksa melepaskan beberapa das tembakan ke tayar kereta menyebabkan kereta itu terbabas di kiri jalan.

"Pemeriksaan kemudian menemui tiga paket dadah jenis heroin seberat 37 gram dan dua paket dadah jenis syabu seberat 11 gram," katanya dalam kenyataan hari ini.

Loo berkata suspek lelaki yang berumur 30 tahun didapati mempunyai tujuh rekod kesalahan lampau berkaitan dadah dan turut positif morfin.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 39A(1) akta yang sama.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Ogos 2016 @ 4:49 PM