HAMIDAH (berdiri lima dari kanan) dan tetamu kehormat bersama kumpulan finalis yang mengungguli enam hadiah utama dengan membawa pulang wang tunai berjumlah RM30,000.
HAMIDAH (berdiri lima dari kanan) dan tetamu kehormat bersama kumpulan finalis yang mengungguli enam hadiah utama dengan membawa pulang wang tunai berjumlah RM30,000.
Nor Hanisah Kamaruzaman

Kumpulan CIMB Bank Berhad (CIMB) memanfaatkan secara serius analisis data dalam semua urusan perniagaannya.

Menyedari kepentingan itu, kumpulan perbankan itu menganjurkan ‘CIMB Data Science Challenge’, baru-baru ini dalam usaha mencungkil bakat yang berpotensi menjadi saintis data di Malaysia.

Pertandingan dengan kerjasama peneraju analisis inovatif, risikan perniagaan serta perkhidmatan dan perisian pengurusan data SAS Malaysia itu turut disokong Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC).

Pertandingan kali pertama itu membabitkan analisis data khusus yang terbuka kepada siswa yang menduduki tahun kedua terakhir dalam pengajian ijazah sarjana muda.

Pelajar diberi tugasan membangunkan model ramalan dan mencadangkan penyelesaian perniagaan berasaskan data bagi mengukuhkan keupayaan CIMB bagi produk jualan silang dan meningkatkan pengalaman pelanggan.

Aktiviti penyelesaian masalah turut menguji kebolehan serta pengetahuan pelajar, selain menguji penggunaan penyediaan data dan ‘data mining’ mereka.

Semua kumpulan turut menyertai tutorial ‘SAS e-learning’ bagi membiasakan diri dengan perisian berkenaan. SAS turut menganjurkan bengkel sehari mengenai kaedah penyelesaian masalah.

Sebanyak 120 kumpulan memohon menyertai pertandingan itu daripada 27 universiti tetapi hanya 55 kumpulan disenarai pendek.

Hanya enam kumpulan berjaya menjadi finalis untuk merebut enam hadiah utama.

Pertandingan dua hari itu diakhiri dengan pengumuman pemenang di MSC Malaysia K-Workers Development Centre (KDC), Cyberjaya.

Sebanyak RM30,000 jumlah keseluruhan wang tunai dimenangi enam finalis. Kumpulan ‘DatActuary’ dari Sunway University muncul juara dan membawa pulang hadiah utama wang tunai RM12,000.

Naib johan dimenangi kumpulan ‘MoCHA’ dari Multimedia University yang mendapat RM8,000, manakala kumpulan ‘CLS’ dari Universiti Malaysia Sarawak di tempat ketiga dan memperoleh RM5,000.

Kumpulan ‘3PM’ dari Universiti Kebangsaan Malaysia di tempat keempat (RM2,500), ‘DareDevil’ dari Universiti Sains Malaysia tempat kelima (RM1,500) manakala Analygent dari Universiti Teknologi MARA membawa pulang RM1,000.

Ketua Pegawai Modal Insan Kumpulan CIMB Hamidah Naziadin berkata, ‘CIMB Data Science Challenge 2016’ adalah inisiatif terkini pihaknya sebagai komitmen kumpulan perbankan itu terhadap perkembangan bakat siswa.

“Ia bukan sekadar pertandingan, malah menjadi platform terbaik kepada siswa untuk menjalani latihan secara amali dalam menggunakan sistem SAS serta kaedah penyelesaian masalah melalui analisis data,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Ogos 2016 @ 10:50 AM