PENGARAH Perhubungan Pelabur, Kelestarian & Komunikasi KPS Berhad, Zulkifli Mawardi (tengah) bersama pemenang KPS #Ekovative Challenge 2022.
PENGARAH Perhubungan Pelabur, Kelestarian & Komunikasi KPS Berhad, Zulkifli Mawardi (tengah) bersama pemenang KPS #Ekovative Challenge 2022.
HM Digital

DENGAN hasrat untuk menggalakkan pembangunan bahan pembungkusan mesra alam, Kumpulan Perangsang Selangor Berhad (KPS Berhad) melancarkan KPS #Ekovative Challenge pada tahun lalu.

Baru-baru ini pula, KPS #Ekovative Challenge 2022 Grand Finale diadakan di Ideal Convention Centre (IDCC) Shah Alam, Selangor. Ia menampilkan prototaip daripada Lima Pasukan Finalis Terbaik.

KPS #Ekovative Challenge 2022 adalah satu pertandingan di antara universiti yang memfokuskan kepada pembangunan bahan alternatif mesra alam sebagai penyelesaian untuk pembungkusan kertas dan plastik yang mampan.

Sehubungan itu, fokus KPS #Ekovative Challenge 2022 adalah Mesra Alam dan Inovatif.

Merujuk kepada laman web Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP) Climate Promise, Malaysia meningkatkan sasaran mitigasi langsung untuk mengurangkan pelepasan karbon berbanding keluaran dalam negara kasar (KDNK) sebanyak 45 peratus pada 2030 seperti yang digariskan dalam Perjanjian Iklim Paris 2015.

Bagaimanapun, dengan trend pengeluaran dan penggunaan kertas serta plastik di Malaysia yang semakin meningkat, sumber yang terhad serta peningkatan pesat sisa terjadual yang direkodkan boleh menimbulkan ancaman yang serius kepada matlamat negara dan global untuk mengurangkan pelepasan karbon menjelang 2030.

Maka pendekatan sisa sifar adalah penyelesaian kepada masalah alam sekitar, ekonomi dan sosial hari ini termasuk perubahan iklim, keselamatan makanan dan kekurangan sumber.

Selaras dengan ini, objektif KPS #Ekovative Challenge 2022 adalah untuk mencari jalan alternatif bagi penyelesaian permasalahan pembungkusan plastik dan kertas yang akan menyumbang ke arah matlamat pencemaran sifar sisa.

Pertandingan ini dibuka kepada semua universiti awam dan swasta di Malaysia.

Pasukan yang mengambil bahagian dikehendaki menghasilkan penyelesaian inovasi atau prototaip mesra alam menggunakan bahan alternatif untuk membuat pembungkusan berasaskan kertas dan plastik.

Sebanyak 25 pasukan menyertai pertandingan ini dan 20 pasukan disenarai pendek untuk fasa pelaksanaan penyelesaian atau prototaip.

Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dengan projek 'Innovative Biopolymer' dinobatkan sebagai johan bagi pertandingan dan membawa pulang hadiah wang tunai RM10,000, trofi, pingat dan sijil. Naib juara dimenangi Universiti Teknologi Mara (UiTM) dengan projek 'AvBioFren' dengan membawa pulang hadiah wang tunai RM5,000, trofi, pingat dan sijil.

Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) memenangi tempat ketiga dengan projek 'Baccferaa' dan membawa pulang hadiah wang tunai RM3,000, trofi, pingat dan sijil.

Pasukan tempat keempat, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dengan projek 'Sea.Plas' menerima hadiah wang tunai RM1,000, pingat dan sijil.

Manakala pasukan tempat kelima adalah Universiti Putra Malaysia (UPM) menerima hadiah wang tunai RM500, pingat dan sijil.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 January 2023 @ 6:21 AM