TEMA berkaitan logistik iaitu penghantaran barangan dipilih pada pertandingan tahun ini.
TEMA berkaitan logistik iaitu penghantaran barangan dipilih pada pertandingan tahun ini.
Fazurawati Che Lah


SATU pertandingan membina dron antara mahasiswa tahun kedua pengajian kejuruteraan elektrik

di Universiti Malaya (UM) diadakan baru-baru ini.

Seramai 150 peserta mengambil bahagian dalam pertandingan EE Makerthon 2019: Drone Challenge yang dibahagikan kepada 18 kumpulan.

Pensyarah kanan di Jabatan Kejuruteraan Elektrik UM, Dr Mohamad Sofian Abu Talip berkata, program diadakan sejak 2018 itu bertujuan memberi peluang kepada peserta untuk mereka bentuk perkakasan dan perisian yang bermanfaat di dalam peranti.

“Dron dipilih sebagai peranti pilihan kerana relevan sebagai salah satu bentuk penyelesaian kepada pelbagai industri kini.

“Peranti yang banyak bergantung kepada kecekapan motor digunakan dan kepadatan pengaturcaraan perisian menjadikan dron sebagai pilihan utama untuk pertandingan ini.

“Tahun lalu, kami menggunakan tema pengurusan bencana alam manakala pada tahun ini kami memilih menggunakan tema berkaitan logistik iaitu penghantaran barangan menggunakan dron,” katanya.

Katanya, peserta diminta mengemukakan reka bentuk kumpulan masing-masing bagi menyelesaikan tiga cabaran yang diberi.

“Sebelum memulakan fasa pembinaan dron, setiap kumpulan diminta membentangkan reka bentuk penyelesaian untuk cabaran yang digariskan, iaitu pengambilan barangan, penghantaran barangan dan pengecasan motor dron tanpa wayar.

“Semua kumpulan yang mengambil bahagian kemudian diberi masa selama sehari bagi menghasilkan dron masing-masing.

“Mereka diberi kit dron yang asas dan perlu mencetak sendiri komponen yang diperlukan menggunakan pencetak tiga dimensi (3D).

PEMASANGAN yang memerlukan ketelitian.
PEMASANGAN yang memerlukan ketelitian.

“Bagi menyelesaikan cabaran yang diberi, mereka perlu mengambil kira aspek komunikasi, saiz, berat dan penggunaan kuasa yang bersesuaian,” katanya.

Dr Mohamad Sofian berharap program itu memupuk minda kreatif dan menggalakkan mahasiswa universiti menjadi lebih proaktif serta inovatif.

Sementara itu, Ketua Jabatan Kejuruteraan Elektrik UM, Profesor Madya Dr Suhana Mohd Said berkata, walaupun berbentuk pertandingan, program itu adalah proses pengajaran dan pembelajaran yang sangat relevan dalam menyampaikan elemen pembinaan perkakasan serta pengaturcaraan perisian kepada mahasiswa.

“Selain memberi manfaat pembelajaran, secara langsung program ini turut menerapkan elemen kemahiran insaniah yang positif dalam diri setiap peserta,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 September 2019 @ 5:10 AM