MAYAT mangsa dihantar ke Hospital Gua Musang untuk bedah siasat sebelum dituntut keluarga.  FOTO Ramli Ibrahim
MAYAT mangsa dihantar ke Hospital Gua Musang untuk bedah siasat sebelum dituntut keluarga. FOTO Ramli Ibrahim
Ramli Ibrahim


Gua Musang: Warga emas maut manakala cucu perempuannya parah selepas motosikal yang ditunggang dilanggar kereta di Kilometer 43, Jalan Gua Musang-Kuala Krai di sini, hari ini.

Dalam kejadian 5.30 petang itu, Latif Salleh, 71, maut di tempat kejadian akibat parah di kepala dan badan manakala cucunya Norfakira Afikal Mohd Faizal, 5, patah paha kiri.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Rajab Ahad Ismail berkata, sebelum kejadian mangsa baru selesai menunaikan solat Asar di Masjid Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) KESEDAR Paloh 2.

Katanya, mangsa dikatakan dalam perjalanan pulang ke rumahnya cuba menyeberang jalan sebelum dilanggar kereta sehingga mangsa tercampak beberapa meter dari lokasi kejadian.

"Penunggang motosikal maut di tempat kejadian manakala cucunya yang membonceng motosikal patah paha kiri.

"Suami isteri yang menaiki kereta tidak mengalami kecederaan," katanya.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Gua Musang ,(HGM) untuk bedah siasat sebelum dituntut keluarga untuk dikebumikan malam ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Ogos 2016 @ 9:39 PM