PELAJAR Orang Asli yang belajar di PETAMA mengikuti kursus pengurusan jenazah di surau PETAMA di Indera Mahkota, Kuantan.
PELAJAR Orang Asli yang belajar di PETAMA mengikuti kursus pengurusan jenazah di surau PETAMA di Indera Mahkota, Kuantan.
Mohd Rafi Mamat

Semangat ingin menimba ilmu dapat dilihat pada 68 pelajar Orang Asli di bawah Program Pembangunan Tamadun Masyarakat Orang Asli (PETAMA) sepanjang mengikuti kursus pengurusan jenazah.

Setiap aktiviti diadakan diperhatikan dengan teliti bagi memastikan mereka tidak terlepas pandang, manakala yang tidak faham segera ditanya kepada pengajar bagi mendapatkan penjelasan.

Kursus di Surau PETAMA Indera Mahkota, Kuantan, itu mendapat tunjuk ajar daripada Norhayati Ibrahim yang berpengalaman lebih 16 tahun dalam menguruskan jenazah.

Nur Iskandar Mohd Azmi, 18, dari Kampung Orang Asli Kuala Boh, Cameron Highlands berkata, pengetahuan itu sekurang-kurangnya memberi peluang kepadanya membantu menguruskan jenazah penduduk Islam di kampungnya.

Menurutnya, perasaan takut dan cemas untuk memandi dan mengafankan jenazah sebelum ini seolah-olah hilang selepas mengikuti kursus secara teori dan amali itu.

Katanya, banyak ilmu dapat dipelajari sepanjang kursus itu terutama cara memandi dan mengafankan jenazah seperti dituntut Islam.

“Keyakinan sebagai pembantu pengurusan jenazah kini makin menebal dalam diri saya. Latihan amali ketika kursus dapat menambah kemahiran saya untuk memandi dan mengafankan jenazah.

“Saya yang dipilih menjadi model mayat dapat merasai sendiri keperluan terutama ketika memandikan jenazah. Beberapa bahagian seperti kuku, celah jari, telinga dan hidung perlu dicuci bagi membuang kotoran,” katanya yang akan menamatkan pengajian setahun setengah di PETAMA, tidak lama lagi.

Dia berkata, sudah tiba masanya Orang Asli sendiri menguruskan jenazah Orang Asli kerana sebelum ini ia dibantu individu di bawah kendalian Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (JAKOA) peringkat daerah.

Nur Iskandar yang sebelum ini belajar hingga tingkatan lima di Sekolah Ringlet, Cameron Highlands, berkata pengalaman pertama kali mengikuti kursus menguruskan jenazah akan dikongsi dengan rakan di kampung.

Bagi Umairah Nurjannah Daut, 21, dari Kampung Pos Tuel Gua Musang, Kelantan, ini kali pertama dia mengikuti kursus dan dapat menambah kemahiran serta keyakinan jika diberi peluang menguruskan jenazah.

“Selain perlu memastikan keadaan mayat benar-benar bersih selepas dimandikan, proses mengafan perlu diberi perhatian. Mayat wanita perlu dikafankan sekurang-kurangnya lima lapis kain putih selain perlu dibuat tudung seperti kain sembahyang.

“Selepas ini, jika ada kematian wanita di kampung, saya akan membantu menguruskan jenazah bersama ustazah dilantik JAKOA. Sudah tiba masanya generasi muda Orang Asli terbabit dengan aktiviti pengurusan jenazah,” katanya yang berketurunan Temiar.

Selepas tiga tahun memeluk Islam, hatinya kini tenang apabila dapat menunaikan kewajiban seperti solat, puasa, berzikir dan membaca al Quran dengan sempurna selepas mendalami ilmu di PETAMA.

Sementara itu, Pengurus PETAMA, Razi Ahmad berkata, setiap tahun pihaknya menganjurkan kursus pengurusan jenazah khusus untuk pelajar yang akan menamatkan pengajian bertujuan menambahkan kemahiran selain mengikis perasaan takut terhadap mayat.

“Bagi menambah kefahaman kepada pelajar, latihan amali diadakan. Seorang pelajar dipilih menjadi model mayat. Dengan cara itu pelajar akan lebih mudah faham, seterusnya mengingati apa dilihat.

“Kita berharap melalui kursus itu pelajar mampu menguruskan jenazah masyarakat Orang Asli di kampung masing-masing yang rata-ratanya terletak di kawasan pedalaman,” katanya.

Katanya, ilmu agama dipelajari sepanjang belajar di PETAMA diharap dapat menjadikan mereka insan berguna, seterusnya layak memikul tugas sebagai pengerak atau guru agama di kampung mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Ogos 2016 @ 2:46 PM