PENDUDUK Yangon, Myanmar, berkumpul di jalan raya untuk memburu makhluk maya ketika bermain Pokemon Go.
PENDUDUK Yangon, Myanmar, berkumpul di jalan raya untuk memburu makhluk maya ketika bermain Pokemon Go.

Taipei: Pelancaran permainan Pokemon Go di Taiwan meningkatkan jumlah pelanggaran trafik apabila pemandu menggunakan telefon pintar mereka untuk bermain permainan itu sambil memandu.

Pihak berkuasa mengeluarkan 1,210 saman antara Sabtu lalu, hari permainan itu dilancarkan, hingga semalam.

Kebanyakan saman itu dikeluarkan terhadap penunggang motosikal.

“Seluruh negara seolah-olah menggunakan telefon pintar mereka untuk bermain Pokemon Go,” kata ketua bahagian trafik polis Taipei.

Pihak berkuasa Taiwan menggesa peminat permainan itu supaya tidak mencari makhluk maya dalam permainan itu di beberapa kawasan, khususnya di istana presiden dan muzium kebangsaan.

Di Zoo Taipei, sebahagian besar pengunjung dilihat asyik menggunakan telefon mereka daripada melihat haiwan.

Seorang wanita berkata, dia bosan dengan teman lelakinya yang bermain permainan itu ketika berada di zoo berkenaan.

“Saya kecewa kerana sejak mula masuk dia hanya bermain Pokemon Go,” kata Chen Ting-ju. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Ogos 2016 @ 10:06 AM