AZIZUL (kanan) bersama Fatehah jalani latihan di Rio.
AZIZUL (kanan) bersama Fatehah jalani latihan di Rio.
Hamdan Saaid


Rio de Janeiro: Azizulhasni Awang tampil di Rio dengan penuh keyakinan akhirnya dapat memecah kebuntuan meraih pingat Sukan Olimpik selepas dua kegagalan sebelum ini.

Namun pelumba berusia 28 tahun itu tidak berhasrat menjadikan Rio sebagai Olimpik terakhirnya kerana berasakan pada usia itu dia masih mampu mencurahkan tenaga dan bakti kepada negara.

Tidak menolak kemungkinan berlumba di Tokyo 2020, atlet yang juga dikenali sebagai ‘The Rocketpocketman’ itu mengambil contoh bekas pelumba Britain Chris Hoy yang hanya meraih pingat Olimpik pada usianya kini.

“Saya masih muda dan mempunyai banyak masa lagi untuk menyumbang sesuatu kepada negara pada kejohanan bertaraf dunia dan Sukan Olimpik.

“Jadi jangan ketepikan kemampuan saya kerana saya masih dahagakan kejayaan dan boleh bertanding lebih lama lagi.

“Harapnya Olimpik Rio ini menjadi pentas terbaik buat saya mengumpul pingat Olimpik,” ujarnya merujuk kepada Hoy yang menamatkan kariernya dengan enam pingat emas Olimpik.

Azizul bagaimanapun menyedari ada tiga nama yang boleh menghalang impiannya selepas sekadar menghuni tangga ke-10 di Beijing 2008 dan keenam di London 2012 dalam acara keirin.

Pelumba berusia 28 tahun dari Dungun itu menamakan juara dunia Joachim Eilers dari Jerman, Eddie Dawkins (New Zealand) dan Jason Kenny (Britain) sebagai pencabar utamanya di Rio.

Azizul melaungkan amaran awal keinginannya dengan meraih pingat gangsa pada Kejohanan Trek Dunia di London Mac lalu apabila dia berakhir di belakang Eilers dan Dawkins.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Ogos 2016 @ 9:22 AM