Oleh Azlan Muhammad Zain

Kuala Lumpur: Bukan saja badminton dan terjun, Malaysia boleh meletakkan harapan untuk meraih pingat Olimpik sulung dari sukan berbasikal di Rio, Brazil tahun depan.

Persediaan taruhan utama negara Azizulhasni Awang kini berada di landasan tepat menggegar di Kejohanan Trek Dunia dan Olimpik Rio.

“Perjalanan pramusim sememangnya terbaik untuk saya, semuanya berjalan lancar. Saya dan ketua jurulatih negara John Beasley gembira dengan situasi ini. Kita mahu menetapkan sasaran meraih pingat di Olimpik.

“Sebelum ini saya perlu pulih daripada kecederaan (untuk menghadapi Olimpik) namun kini semuanya pada tahap terbaik. Awal musim saya sudah meraih hasil di Jepun,” katanya.

Pelumba negara yang digelar The Rocketpocketman itu berjaya meraih emas acara keirin siri kedua Piala Trek Jepun menewaskan beberapa pencabar ternama seperti Kazunari Watanabe dari Jepun dan pelumba Australia Shane Perkins.

Ia disusuli kejayaan meraih tiga gelaran - dua pecut dan satu keirin - di dua siri perlumbaan Grand Prix Asia Tenggara di Velodrom Kuala Lumpur, Cheras, minggu lalu.

“Sebenarnya saya terkejut dengan kemenangan di Jepun, namun ia adalah penanda aras terdapat peningkatan dalam latihan,” kata pelumba berusia 27 tahun itu.

Pelumba berasal dari Terengganu itu akan meningkatkan usaha dengan mengambil pendekatan baru dalam latihannya di Melbourne bagi menghadapi dua kejohanan penting itu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 Ogos 2015 @ 8:39 AM