AZIZUL bersama cahaya mata ketiga. -FOTO Instagram
AZIZUL bersama cahaya mata ketiga. -FOTO Instagram
Hamdan Saaid

Kuala Lumpur: Ikon sukan berbasikal negara Datuk Azizulhasni Awang bersyukur selepas isterinya Datin Athiah Ilyana Abd Samat selamat melahirkan cahaya mata ketiga dalam keluarganya di Melbourne, Australia semalam.

"Alhamdulillah syukur. Isteri saya selamat melahirkan cahaya mata ketiga kami pada awal siang tadi. Kedua-dua ibu dan bayi sihat wal'afiat dan berada di dalam keadaan yang terbaik.

"Terima kasih kepada semua yang sentiasa mendoakan kesejahteraan kami sekeluarga," tulis Azizul ringkas dalam perkongsian di laman Instagram dan Facebook miliknya lewat malam tadi.

Bagaimanapun Azizul, pemenang pingat perak acara keirin lelaki pada temasya Sukan Olimpik Tokyo 2020 enam bulan lalu, tidak mendedahkan jantina cahaya mata ketiganya itu sama ada lelaki atau perempuan.

Hasil perkongsian hidup dengan Athiah Ilyana sejak 30 Januari 2010, Azizul dikurniakan dua cahaya mata perempuan Amna Maryam, 9, dan Amna Khadeeja, 6.

Pelumba bergelar The Pocket Rocketman itu hanya mengetahui mengenai berita isterinya hamil selepas dia melakar rekod muncul pelumba berbasikal pertama negara meraih pingat perak pada temasya Olimpik di Shizuoka, Jepun.

Azizul tewas di tangan pelumba Britain, Jason Kenny susulan kesilapan taktikal apabila menyaksikannya jauh ketinggalan manakala Harrie Lavreysen dari Belanda memungut pingat gangsa. Di Rio de Janeiro, Brazil enam tahun lalu, dia merangkul pingat gangsa dalam acara sama.

Dalam ruangan komen, rata-rata peminat dan warganet mengucapkan tahniah kepada Azizul dan isterinya susulan kehadiran orang baharu dalam kehidupan mereka dan mendoakan yang terbaik buat keluarga itu.

Turut mengucapkan tahniah kepadanya legenda sukan berbasikal trek dunia Sir Chris Hoy dari Britain, bekas Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara dan Ketua Pegawai Eksekutif Institut Sukan Negara, Datuk Dr Ramlan Abdul Aziz, pemain badminton Aaron Chia, bekas pelari pecut negara Nazmizan Muhammad dan pelayar negara Khairulnizam Mohd Afendy.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Februari 2022 @ 11:50 AM