MUHYIDDIN  merasmikan  pelancaran  Blueprint PolyGreen 2015 sambil diperhatikan Idris (kiri), Idris Jusoh dan Mohlis di Politeknik Merlimau, Jasin.
MUHYIDDIN merasmikan pelancaran Blueprint PolyGreen 2015 sambil diperhatikan Idris (kiri), Idris Jusoh dan Mohlis di Politeknik Merlimau, Jasin.
Oleh Mohd Nur Asnawi Daud dan Mohd Hilmie Hussin

Jasin: Kerajaan menaruh harapan semua lulusan politeknik bakal jadi ejen perubahan yang menerajui teknologi hijau dalam kerjaya mereka.

Sehubungan itu, pelancaran Pelan Pembangunan Blueprint POLYGreen Politeknik Malaysia bakal menjadi rujukan hala tuju strategik amalan teknologi hijau di politeknik seluruh negara.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pelan itu menyatukan pembangunan hijau dalam pengajaran serta pembelajaran membabitkan lima aspek iaitu pengurusan kampus hijau, pembangunan kurikulum hijau, pemupukan komuniti hijau, penyelidikan hijau dan pembudayaan hijau.

Katanya, langkah yang dilaksanakan pusat pengajian tinggi itu penting dalam membentuk generasi pekerja sensitif terhadap isu alam sekitar berasaskan ilmu sains, pengetahuan tempatan dan kerjasama dengan pelbagai pihak berkepentingan serta berpengalaman.

“Sebagai institusi yang menerajui teknologi, mereka (politeknik) diharap dapat memanfaatkan ilmu dan kemahiran membangunkan sesuatu sistem yang lestari dalam jangka masa panjang, seterusnya menangani fenomena perubahan iklim yang semakin meruncing,” katanya ketika berucap merasmikan Pelan Pembangunan Blueprint POLYGreen Politeknik Malaysia di Politeknik Merlimau, di sini, semalam.

Hadir sama, Ketua Menteri Datuk Seri Idris Haron, Menteri Pendidikan Kedua Datuk Seri Idris Jusoh dan Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan Politeknik Malaysia Datuk Mohlis Jaafar.

Muhyiddin yang juga Menteri Pendidikan berkata, beliau percaya selain langkah itu boleh menjimatkan perbelanjaan kerajaan pada jangka masa panjang, inisiatif berkenaan juga menyambut saranan kerajaan mengurangkan pelepasan gas karbon dioksida kepada 40 peratus menjelang 2020 seperti ditegaskan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pada Sidang Kemuncak Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada September lalu.

“Bagi memastikan aspek pembangunan dan pengurusan amalan teknologi hijau sejajar dengan pengurusan strategik politeknik, saya berharap semua warga kerja politeknik dapat mengembleng tenaga demi untuk memantapkan dan menambah baik hala tuju pengurusan strategik politeknik ke arah mencapai pengiktirafan ‘Politeknik Mapan’,” katanya.

Dalam pada itu, Muhyiddin berkata, penyelidik daripada universiti tempatan berpendapat kejadian banjir besar tahun lalu disebabkan perubahan iklim dan pemanasan global.

“Perubahan iklim dan pemanasan global ini turut mengakibatkan kejadian seperti ribut taufan, tanah runtuh, kemarau, kebakaran hutan dan kekurangan air tadahan lagi yang semakin ketara pada masa kini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 April 2015 @ 9:48 AM