Pandelela menang pingat gangsa acara 10 meter platform individu Sukan Olimpik London 2012. - Foto Fail
Pandelela menang pingat gangsa acara 10 meter platform individu Sukan Olimpik London 2012. - Foto Fail
BERNAMA

Kuching: Hanya tinggal beberapa jam sebelum ratu terjun negara Pandelela Rinong Pamg memulakan aksi di Sukan Olimpik, seorang wakil rakyat Sarawak menjanjikan ganjaran RM50,000 jika atlet itu memenangi pingat emas.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan Tasik Biru Datuk Henry Harry Jinep berkata beliau akan menyumbang RM50,000 sekiranya Pandelela, 23, mampu menamatkan kemarau emas negara di Sukan Olimpik.

Sebelum ini, Henry menghadiahkan RM10,000 sebagai hadiah hari jadi ke-23 Pandelela.

Pandelela, pemenang pingat gangsa acara 10 meter platform individu Sukan Olimpik London 2012, akan memulakan aksinya dalam acara 10m platform seirama bersama Cheong Jun Hoong pada 4 petang waktu tempatan di Rio de Janeiro (3 pagi waktu Malaysia).

“Memang betul saya akan memberi ganjaran RM50,000 sekiranya Pandelela memenangi emas di Sukan Olimpik Rio yang sedang berlangsung ketika ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Ogos 2016 @ 7:53 PM