ATLET terjun negara, Pandelela Rinong Pamg (kanan) dan atlet hoki negara, Mohd Fitri Saari (kiri) selepas istiadat konvokesyen Universiti Malaya 2018 di Dewan Tunku Canselor, Universiti Malaya. FOTO Bernama
ATLET terjun negara, Pandelela Rinong Pamg (kanan) dan atlet hoki negara, Mohd Fitri Saari (kiri) selepas istiadat konvokesyen Universiti Malaya 2018 di Dewan Tunku Canselor, Universiti Malaya. FOTO Bernama
Jumiati Rosly


KUALA LUMPUR: Selepas lima tahun membahagikan masa sebagai seorang atlet serta penuntut universiti, Pandelela Rinong Pamg kini boleh menarik nafas lega kerana akhirnya kini boleh memberi tumpuan sepenuhnya kepada kariernya selaku penerjun negara.

Ketika ditemui sejurus selepas menerima Ijazah Sarjana Muda Sains Pengurusan Sukan dalam Istiadat Konvokesyen Universiti Malaya (UM) 2018 di sini hari ini, Pandelela yang sudah mengumpul satu pingat gangsa pada Sukan Olimpik London 2012 dan satu perak pada Olimpik Rio 2016 kelihatan gembira dan terharu dengan pencapaiannya.

"Saya gembira dan berbangga dengan diri sendiri sebab ini adalah anugerah di luar sukan yang amat bermakna untuk saya.

"Sebelum ini fokus saya berbelah bahagi kepada dua dan sekarang ini saya boleh beri tumpuan sepenuhnya kepada sukan. Harapnya saya dapat melakukan yang lebih baik daripada sebelum ini," katanya kepada pemberita.

Ketika ditanya rahsia yang membolehkannya menamatkan pengajiannya biarpun jadual latihan yang padat dan kejohanan yang perlu disertai di dalam dan luar negara, Pandelela mendedahkan kunci kepada segalanya adalah semangat untuk tidak berputus asa.

"Banyak cabaran saya lalui. Perjalanan saya sebagai atlet juga banyak turun dan naik tetapi saya rasa saya boleh sampai ke tahap ini atas semangat yang tak berputus asa.

"Saya nasihatkan belia di luar sana supaya jangan mudah berputus asa dan teruskan usaha untuk mencapai impian masing-masing," katanya yang turut ditemani ibu bapanya dari Sarawak - Hartini Lamin dan Pamg Joheng.

Pandelela, 25, yang berhasrat untuk menyambung pengajian ke peringkat Master berkata, beliau bercadang untuk menggunakan ijazah yang ada sekarang dalam memenuhi cita-citanya yang diingini namun belum bersedia untuk berkongsi impiannya itu.

Pandelela mula mendaftar sebagai siswazah di UM selepas mencatat sejarah sebagai pemenang pingat wanita pertama negara yang memenangi pingat di Olimpik 2012 apabila memenangi gangsa acara 10m platform individu wanita.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Oktober 2018 @ 10:25 PM