Antara barangan dirampas daripada suspek. FOTO ihsan PDRM
Antara barangan dirampas daripada suspek. FOTO ihsan PDRM
Raja Noraina Raja Rahim


Tampin: Suami isteri yang dipercayai terbabit kes pecah kereta di Taman Rekreasi Tampin di sini, berjaya ditahan polis tiga jam selepas melakukan jenayah itu, petang tadi.

Ketua Polis Daerah Tampin Superintendan Hamazah Ab Razak berkata, polis menerima laporan dibuat seorang lelaki mengenai cermin keretanya dipecah dan wang tunai RM250 dilarikan suspek.

"Kejadian jam 11 pagi itu disedari seorang wanita yang sempat mencatat nombor pendaftaran kereta suspek. Berdasarkan maklumat itu, polis menyerbu sebuah rumah di Pulau Sebang, Melaka, pada jam 2 petang.

"Polis menahan seorang lelaki berusia 33 tahun dan isterinya berusia 30 tahun yang bersembunyi di dalam sebuah bilik. Penahanan suspek membawa kepada penemuan barang mangsa yang dibuang ke dalam semak berhampiran sungai di Pulau Sebang," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, siasatan mendapati suspek utama mempunyai 12 rekod jenayah lampau manakala isterinya mempunyai empat rekod jenayah lampau serta kedua-duanya positif dadah.

Hamazah berkata, kedua-dua suspek itu akan direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 Disember 2016 @ 8:10 PM