Ahmad Zailani (tengah) menunjukkan dadah yang dirampas-FOTO Rosli Ilham
Ahmad Zailani (tengah) menunjukkan dadah yang dirampas-FOTO Rosli Ilham
Rosli Ilham

Dungun: Enam termasuk seorang wanita ditahan selepas polis menemui dadah jenis heroin bernilai RM5,200 dalam serbuan di sebuah rumah di Jalan Santong, Dungun pada Ahad lalu.

Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Ahmad Zailani Yaacub berkata, serbuan itu dilakukan sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Dungun 2.30 petang.

Menurutnya, ketika serbuan pemilik rumah berkenaan yang berusia 47 tahun berada bersama tiga lelaki lain di ruang tamu kediaman itu.

Katanya, polis turut menemui anak lelaki itu bersama teman wanitanya berusia 22 dan 24 tahun dalam sebuah bilik tidur.

"Pemeriksaan lanjut dalam rumah berkenaan kemudiannya menemui dadah jenis heroin seberat 167 gram.

"Dipercayai dadah berkenaan adalah untuk kegunaan sendiri dan dipasarkan kepada penagih di kawasan sekitarnya," katanya ketika sidang media di sini, hari ini.

Menurutnya, kesemua mereka itu ditahan dan dibawa ke IPD Dungun untuk siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Ogos 2016 @ 2:25 PM