KUNJUNGI  siri jelajah untuk lihat Accord secara lebih dekat.
KUNJUNGI siri jelajah untuk lihat Accord secara lebih dekat.

Selepas diperkenalkan pada Pameran Motor Antarabangsa Bangkok, Mac lalu, kini tiba giliran negara ini melihat model Honda Accord dipertingkatkan yang akan dilancarkan tidak lama lagi.

Kehadirannya bagi pasaran Malaysia bukan lagi rahsia apabila Honda Malaysia Sdn Bhd (HMSB) mula membuka tempahan di 88 bilik pameran Honda di seluruh negara bermula minggu lalu.

Generasi kesembilan Honda Accord ini tampil lebih segar dengan ciri rekaan baharu pada bahagian hadapan. Ia merangkumi perubahan pada jeriji hadapan dengan palang krom lebih besar yang menerapkan rekaan konsep ‘Solid Wing’.

Penampilan jelas tampak garang dengan padanan lampu hadapan LED yang kelihatan bersambung jeriji hadapan.

Bahagian belakang kelihatan dinamik dengan padanan lampu LED baharu, selain menerima kemasan rim rekaan baharu.

Model dipertingkatkan itu juga ditawarkan dengan dua warna baharu membabitkan White Orchid Pearl dan Lunar Silver Metallic. Seperti model terdahulu, Honda Accord baharu ini ditawarkan dengan dua pilihan enjin dalam tiga varian berbeza iaitu 2.0 VTi, 2.0 VTi-L dan 2.4 VTi-L.

Difahamkan, tiada perubahan yang digunakan pada rangkaian enjin berkenaan yang mana ia dijangka dilancarkan pada suku ketiga tahun ini.

Mereka yang ingin melihat lebih dekat model berkenaan, boleh mengunjungi siri jelajah bermula 12 Ogos sehingga 4 September, 2016.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 Ogos 2016 @ 5:03 AM