SEDAN Accord selesa dan bergaya.
SEDAN Accord selesa dan bergaya.
Mohd Razlan Salleh


Honda Malaysia Sdn Bhd menetapkan satu tanda aras baru bagi sedan eksekutif menerusi pelancaran Accord baharu pada bulan lalu. Sedan generasi kesembilan itu direka semula dengan menawarkan nilai pakej hebat tetapi pada masa sama, mengekalkan ciri premiumnya.

Accord meraikan ulang tahun ke-40 tahun ini adalah model utama Honda. Di Malaysia, lebih 75,000 unit Accord berada di atas jalan raya dan kekal menjadi sedan eksekutif popular sejak diperkenalkan pada 2001, hasil daripada DNA kualiti, kehalusan buatan dan premium sedia ada.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Honda Malaysia, Katsuto Hayashi berkata, berdasarkan data syarikat, Jumlah Keseluruhan Industri (TIV) dari Januari hingga Ogos tahun ini jatuh 15 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

“Namun, dengan jualan keseluruhan bermula Januari hingga Ogos 2016 mencecah 55,751 unit, kami berjaya mengekalkan posisi nombor satu dalam segmen kenderaan bukan nasional.

“Dalam tempoh sama, perkongsian pasaran adalah 15 peratus, sekali gus mengekalkan Honda pada kedudukan kedua keseluruhan TIV,” katanya dalam ucapan pada majlis pelancaran model itu baru-baru ini.

Beliau berkata, sepanjang tempoh mencabar ini, pelanggan lebih berhati-hati dengan perbelanjaan mereka dan mahukan kenderaan yang bukan sahaja bernilai, malah memiliki pakej keseluruhan terbaik daripada segi jualan serta khidmat selepas jualan.

“Kami juga mendapati pengguna tempatan masih gemarkan sedan berbanding jenis lain. Jadi, adalah penting buat kami menawarkan satu siri model sedan yang lengkap.

“Accord terbaru ini jelas menawarkan satu tahap ekspektasi yang baru terhadap sedan eksekutif. Ia juga melengkapkan tawaran siri sedan Honda yang terdiri daripada City dan Civic,” katanya.

Accord baharu ditawarkan dalam tiga varian enjin iaitu 2.0VTi, 2.0VTi-L dan 2.4VTi-L yang dikuasakan enjin ‘Earth Dreams Technology’ Honda yang menawarkan pengalaman pemanduan lebih mengujakan dan menjimatkan bahan api.

Accord baharu direka semula untuk menawarkan penampilan luaran lebih sofistikated dan maskulin menerusi rekaan bampar hadapan baru. Selain itu, lampu utama LED penuh gaya pada bahagian hadapan dan belakang serta padanan rim dua tona berwarna hitam dan perak melengkapkan lagi penampilan dinamiknya.

Bagi memenuhi keperluan gaya hidup eksekutif moden, Accord baharu dilengkapi unit Paparan Audio Skrin Sentuh Bersaiz Tujuh inci bersama i-MID yang serasi dengan Apple CarPlay dan Android Auto.

Ciri Telefon Bebas Tangan Dengan Pengecaman Suara dan MirrorLink pula memudahkan urusan berkomunikasi dan hiburan ketika memandu.

Tahap premium ditawarkan Accord dapat dilihat melalui varian 2.0VTi kini hadir dengan ciri-ciri seperti Kemasukan Pintar, Butang Penghidup Enjin dan Kawalan Jelajah yang biasanya boleh didapati pada varian lebih tinggi.

Pada masa sama, varian tinggi 2.0VTi-L yang juga varian paling laris dilengkapi dengan pelbagai ciri tambahan seperti Honda Lane Watch, Cermin Pandang Belakang Auto Malap, Pengelap Cermin Automatik, Tempat Duduk Penumpang Hadapan Berkuasa, Beg Udara Jenis Curtain Sisi.

Memandangkan aspek keselamatan sentiasa menjadi keutamaan Honda, ketiga-tiga varian Accord kini dilengkapi enam beg udara, selain Sistem Brek Anti Kekunci (ABS), Agihan Brek Elektronik (EBD), Lampu Isyarat Berhenti Kecemasan (ESS), Bantuan Kestabilan Kenderaan (VSA), Bantuan Mendaki (HSA), Cermin Pandang Belakang Pelbagai Sudut dan ISOFix.

Honda Malaysia yakin pengalaman pemanduan premium bersama pakej luar biasa ditawarkan Accord baharu mampu membuatkannya kekal popular dalam segmen D. Accord baharu juga dilengkapi pelbagai ciri lebih baik termasuk muncul sebagai model pertama Honda ditawarkan dengan warna baru, Obsidian Blue Pearl.

Warna lain ditawarkan pada rangkaian Accord baharu termasuk putih, perak, kelabu dan hitam.

Sebagai nilai tambah dan kemudahan kepada pelanggan, Accord baharu hadir bersama jaminan lima tahun dengan perbatuan tanpa had bersama selang servis setiap 10,000 kilometer (km).

Sila kunjungi mana-mana daripada 88 pengedar Honda di seluruh negara untuk maklumat lanjut mengenai Accord baharu atau menempah sesi pandu uji. Anda juga boleh menghubungi talian Tol Percuma Honda 1-800-88-2020 atau layari laman web www.honda.com.my.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 Oktober 2016 @ 5:02 AM