ROSLAN (kiri) dan Toichi bergambar bersama Honda Accord dilengkapi teknologi keselamatan Honda Sensing. FOTO Mohd Razlan Salleh.
ROSLAN (kiri) dan Toichi bergambar bersama Honda Accord dilengkapi teknologi keselamatan Honda Sensing. FOTO Mohd Razlan Salleh.
Mohd Razlan Salleh


HONDA Malaysia Sdn Bhd (HMSB) kini menawarkan teknologi keselamatan termaju Honda Sensing bagi dua varian Accord pada harga lebih kompetetif.

Model 2.4 VTi-L Advance dijual pada harga RM169,800 tanpa insurans manakala varian 2.0 VTi-L kekal pada harga asas bermula RM149,350.

Pelancaran dirasmikan Pengarah Urusan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif HMSB Toichi Ishiyama dan Presiden yang juga Ketua Pegawai Operasi HMSB Roslan Abdullah ketika menghadiri Rumah Terbuka HMSB, hari ini.

Sebelum ini, Honda Sensing hanya ditawarkan pada model Kenderaan Utiliti Sukan (SUV) CR-V 1.5TC-P 2WD.

Menurut Naib Presiden Kumpulan HMSB Akkbar Danial, Accord yang juga peneraju kenderaan Segmen D kini dilengkapi ciri keselamatan termaju Honda.

“Dengan adanya teknologi Honda Sensing, model Accord boleh dianggap sebagai kenderaan premium sempurna dengan harga jauh lebih rendah berbanding pesaing bagi segmen sama.

“Sejak September lalu, Accord adalah peneraju kenderaan Segmen D di negara ini,” katanya.

Akkbar berkata, 5,500 unit Accord generasi kesembilan terjual sejak dilancarkan pada September tahun lalu.

Terdahulu, antara ciri Honda Sensing termasuk Adaptive Cruise Control (ACC), Forward Collision Warning (FCW), Collision Mitigation Braking System (CMBS), Lane Keep Assist System (LKAS), Road Departure Mitigation (RDM) dan Lane Departure Warning (LDW).

Ciri asas premium lain antaranya lampu LED depan dan belakang, paparan audio pelbagai fungsi tujuh inci bersama i-MID dan Honda LaneWatch.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 November 2017 @ 2:04 PM