GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
BERNAMA

Pasir Mas: Polis menahan empat lelaki termasuk seorang warga Myanmar disyaki menjadi ejen bagi membawa masuk pendatang asing tanpa izin (Pati) dari negara itu dengan melintasi sempadan Malaysia-Thailand secara haram, awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Pasir Mas Asisten Komisioner Mohd Nasaruddin M Nasir berkata, susulan penahanan empat suspek itu, polis menemukan 24 lagi warga Myanmar terdiri daripada 18 lelaki dan enam wanita disembunyikan di sebuah inap desa di Kampung Cherang Hangus, di sini, pada 1.20 pagi tadi.

Beliau berkata, kejayaan itu bermula dengan penahanan sebuah kereta dinaiki dua lelaki berusia 22 dan 24 tahun di Kampung Repek, di sini, dan pemeriksaan polis mendapati nombor plat kereta berkenaan adalah palsu, manakala nombor casis didapati sudah diganggu.

Menurutnya, suspek berusia 24 tahun didapati positif dadah jenis methamphetamin di samping mempunyai lima rekod jenayah.

Katanya, hasil soal siasat, kedua-dua suspek mengaku bertugas sebagai 'penghantar' yang mengambil warga Myanmar di pangkalan haram Lubok Gong, di sini, untuk dibawa ke satu destinasi dalam negara.

"Suspek berusia 24 tahun juga mengaku hanya dia dan seorang adiknya yang mengenali seorang warga Myanmar yang dipanggil 'Apik', dalam urusan membawa masuk pendatang," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohd Nasaruddin berkata, polis kemudiannya menyerbu sebuah inap desa di Kampung Cherang Hangus dan berjaya menahan 24 warga Myanmar berusia 20 hingga 40-an,.

Menurutnya, kira-kira 2.40 pagi tadi, polis menahan seorang lagi lelaki berusia 22 tahun yang juga adik suspek berusia 24 tahun itu, di sebuah rumah tidak bernombor di Lubok Setol untuk siasatan lanjut.

"Suspek mengaku sudah 14 kali bertindak sebagai 'penghantar' dengan menerima arahan daripada "Apik" bagi mengangkut pendatang haram Myanmar.

"Polis kemudiannya menyerbu sebuah lagi rumah tidak bernombor di Kampung Tasik, Rantau Panjang dan berjaya menahan suspek warga Myanmar dikenali sebagai "Apik" di luar rumah itu," katanya.

Menurutnya, siasatan mendapati suspek warga Myanmar berusia 40-an itu adalah pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNCHR) dan berperanan sebagai "ejen" membawa masuk pendatang Myanmar ke negara ini dengan mengupah penduduk tempatan sebagai penghantar.

Katanya, kes akan disiasat mengikut Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 January 2022 @ 3:11 PM