Kenyataan media JPN
Kenyataan media JPN
Nursyahirah Marzuki


Putrajaya: Sesiapa yang dengan sengaja menggunakan semula kad pengenalan yang sudah dilaporkan hilang dan dijumpai semula, tetapi tidak memulangkannya ke Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dianggap melakukan kesalahan.

Ketua Pengarah JPN Mohd Yazid Ramli berkata, kesalahan itu adalah mengikut Peraturan 25(1)(e) dan 25(1)(fa) PPN 1990, Akta Pendaftaran Negara 1959 (Akta 78).

Beliau berkata, mengikut peraturan itu mereka boleh dikenakan hukuman penjara tidak melebihi tiga tahun atau denda tidak melebihi RM20,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

"Mengikut Peraturan 13(5) PPN 1990 jika mana-mana orang yang menjumpai atau memiliki kad pengenalan bukan miliknya perlu menyerahkannya ke pejabat pendaftaran atau balai polis berdekatan.

"Kad pengenalan yang dilaporkan hilang akan dinyahaktif dan tidak lagi sah untuk digunakan walaupun ianya dijumpai semula, dan jika digunakan ianya adalah tidak sah dan salah di sisi undang-undang,"katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.

Sehubungan itu, Mohd Yazid berkata, semua pemilik kad pengenalan yang menjumpai semula kad pengenalan mereka, atau mana-mana pihak atau agensi yang menyimpan kad pengenalan dijumpai perlu menyerahkannya kepada JPN untuk proses pembatalan.

"Pemilik kad pengenalan turut diingatkan untuk menjaga kad pengenalan masing-masing setiap masa demi keselamatan dan kepentingan bersama,"katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Ogos 2016 @ 7:38 PM