ANGGOTA JPN memeriksa seorang daripada 16 individu yang ditahan.
ANGGOTA JPN memeriksa seorang daripada 16 individu yang ditahan.
Hayati Ibrahim


Putrajaya: Op ID yang dijalankan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) di tiga kawasan sekitar Pasir Gudang dan Masai, Johor, semalam, berjaya menahan 16 rakyat selatan Filipina yang menggunakan kad pengenalan palsu dan milik orang lain sebagai pengenalan diri.

Mereka yang ditahan dalam operasi lima jam bermula 12.30 tengah malam hingga 6.30 pagi, membabitkan 11 lelaki dan lima wanita berusia antara 18 hingga 58 tahun pada mulanya mendakwa mereka berasal dari Sabah.

Bagaimanapun, Ketua Pengarah JPN Datuk Mohd Yazid Ramli berkata, siasatan lanjut mendapati mereka berasal dari selatan Filipina. Mereka menggunakan kad pengenalan palsu dan milik orang lain sebagai pengenalan diri serta menyimpan kad pengenalan bukan milik sendiri.

“Siasatan juga mendapati mereka memperoleh kad pengenalan itu melalui sindiket dengan harga RM300 hingga RM3,000 setiap satu.

“Semua mereka mengaku menggunakan kad pengenalan itu dalam tempoh antara dua minggu hingga setahun dan dipercayai masuk ke Malaysia melalui Sandakan,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.

Operasi ini turut dibantu Jabatan Imigresen Johor dan Putrajaya serta Pasukan Gerakan Am (PGA).

Mohd Yazid berkata, JPN juga merampas pelbagai dokumen yang menggunakan nombor pengenalan diri palsu seperti kad pekerja, Kad CIDB dan pas kerja bagi Tenaga Nasional Berhad (TNB), Johor Port, Panasonic serta beberapa kilang lain.

Katanya, siasatan dijalankan mengikut Peraturan 25(1)(e) & (o), Peraturan-peraturan Pendaftaran Negara 1990 (Pindaan 2007) kerana menggunakan kad pengenalan palsu dan milik orang lain sebagai pengenalan diri dan menyimpan kad pengenalan bukan milik sendiri.

“Jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara tidak lebih tiga tahun atau denda tidak lebih RM20,000 atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Beliau berkata, JPN akan menjalankan operasi secara berterusan untuk membanteras penyalahgunaan dokumen JPN terutama kad pengenalan yang banyak digunakan oleh warga asing di negara ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 April 2017 @ 4:32 AM