Suraya Roslan

Kuala Lumpur: Penuntut warga asing di Malaysia yang mahu memperbaharui visa perlu berhubung terus dengan Jabatan Imigresen.

Timbalan Menteri Dalam Negeri I, Datuk Seri Dr Ismail Mohamed Said berkata, Kementerian Dalam Negeri (KDN) sentiasa bersikap terbuka untuk membantu mereka bagi meneruskan pengajian di negara ini.

"Kita tidak bertindak kejam dan keterlaluan tetapi kita memberikan khidmat nasihat yang sewajarnya bagi membolehkan kerjasama antara negara dan negara luar, yang mahu menjadikan Malaysia antara hab pendidikan yang terkenal," katanya pada sesi Pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Ismail menjawab soalan tambahan Dr Maszlee Malik (Bebas-Simpang Renggam) mengenai kedudukan penuntut asing yang sudah tamat visa selepas menerima banyak aduan penuntut diarah untuk keluar dari negara dan kembali semula bagi memperbaharui visa mereka yang dikhuatiri boleh meningkatkan risiko jangkitan Covid-19.

Sementara itu, Ismail menjawab soalan lisan Lukanisman Awang Sauni (GPS-Sibuti) yang mahu KDN menyatakan apakah tindakan proaktif kerajaan terhadap maklumat penerima vaksin yang tidak mempunyai kad pengenalan diri terutama di Sarawak dan adakah kerajaan akan mengambil tindakan mengenai isu individu tanpa pengenalan diri.

Ismail berkata, KDN mengalu-alukan langkah kerajaan yang menggalakkan semua individu menerima vaksin.

"Bagaimanapun, KDN selaku kementerian bertanggungjawab terhadap keselamatan dan ketenteraman awam sentiasa komited untuk memastikan semua penduduk di Malaysia adalah berdokumen dan sah.

"Merujuk kepada pertanyaan Ahli Yang Berhormat, pengeluaran kad pengenalan oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) adalah berdasarkan Akta Pendaftaran Negara 1959 [Akta 78] dan Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 [PPN1990] kepada mana-mana individu yang berusia genap 12 tahun dan tidak lagi dikecualikan di bawah PPN1990," katanya.

Menurutnya, kad pengenalan hanya dikeluarkan kepada mana-mana individu yang memenuhi syarat yang ditetapkan di bawah perundangan dan prosedur yang sedang berkuat kuasa.

TIMBALAN Menteri Dalam Negeri I, Datuk Seri Dr Ismail Mohamed Said. FOTO arkib NSTP
TIMBALAN Menteri Dalam Negeri I, Datuk Seri Dr Ismail Mohamed Said. FOTO arkib NSTP

"Adalah menjadi kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan bagi mana-mana individu yang tidak lagi dikecualikan di bawah PPN1990 untuk tidak mendaftar dan memiliki kad pengenalan.

"Individu berkenaan boleh didakwa di bawah Peraturan 25(1)(a) PPN1990 dan sekiranya didapati bersalah boleh dikenakan hukuman penjara selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau denda tidak melebihi RM2,000 atau kedua-duanya.

"Kementerian melalui JPN sentiasa mengambil inisiatif dan langkah proaktif dalam memastikan urusan pendaftaran dokumen pengenalan diri individu yang berkelayakan dapat dilaksanakan dengan mudah di seluruh negara termasuk di kawasan pedalaman melalui inisiatif berterusan program Menyemai Kasih Rakyat (MEKAR)," katanya.

Katanya, antara inisiatif tambahan yang sering dilaksanakan KDN adalah pelaksanaan pelbagai operasi penguatkuasaan seperti Op Patuh untuk mengawal dan menilai pematuhan masyarakat terhadap prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan dan Pelan Pemulihan Negara.

"Semasa pemeriksaan Op Patuh, kementerian ini sentiasa menasihatkan semua pihak terutamanya majikan untuk memastikan setiap pekerja yang digajikan adalah mematuhi undang-undang dan peraturan-peraturan yang berkuat kuasa.

"Majikan turut dinasihatkan supaya meregularisasikan pendatang asing tanpa izin (Pati) untuk memastikan semua pekerja adalah berdokumen dan mendapat akses kepada vaksinasi Covid-19.

"Ini adalah bertepatan dengan garis panduan SOP Pelan Imunisasi Covid-19 Kebangsaan untuk Pendatang Asing Tanpa Izin (PICK-PATI) yang diluluskan kerajaan," katanya.

Katanya, urusan dokumentasi bagi individu yang tidak berdokumen berumur 21 tahun ke bawah di Sarawak dibincangkan dalam Jawatankuasa Khas Status Kewarganegaraan Peringkat Negeri Sarawak manakala bagi negeri Sabah, ia dibincangkan dalam Jawatankuasa Pengurusan Warga Asing di Sabah (JKPWAS).

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 September 2021 @ 11:32 AM