Atirah (tengah) ditenangkan orang ramai selepas kereta dipandu terbabit kemalangan. FOTO Rosli Ilham
Atirah (tengah) ditenangkan orang ramai selepas kereta dipandu terbabit kemalangan. FOTO Rosli Ilham
Rosli Ilham


Dungun: Seorang penuntut Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin yang menangis dan terkejut terpaksa ditenangkan orang ramai selepas keretanya terbabit dalam kemalangan di Batu 50 di sini, 4.30 petang tadi.

Atirah Sahami, 22, dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Bandar Al Muktaffi Billah Shah (AMBS) dari politeknik berkenaan dikatakan menggigil ketakutan sebelum dipapah beberapa pengguna jalan raya keluar dari kenderaannya.

Kejadian di persimpangan lampu isyarat yang tidak berfungsi itu dipercayai berlaku apabila mangsa yang memandu Perodua Kancil dari arah Dungun ke Paka merempuh sebuah Perodua Myvi yang datang dari arah Jalan Lapangan Terbang dan membelok secara tiba-tiba.

Mangsa dikatakan tidak sempat mengelak lalu merempuh bahagian kanan kereta terbabit.

Bagaimanapun, kedua-dua pemandu terbabit tidak mengalami kecederaan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Ahmad Zailani Yaacub menasihati pengguna jalan raya agar berhati-hati melalui persimpangan itu sehingga kerosakan lampu isyarat terbabit dibaiki.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Ogos 2016 @ 8:36 PM