PINGAT emas Sukan Asia 2014 Cheau Xuen ditarik balik.
PINGAT emas Sukan Asia 2014 Cheau Xuen ditarik balik.
Oleh Ferzalfie Fauzi

Kuala Lumpur: Persekutuan Wushu Antarabangsa (IWUF) mengenakan hukuman gantung empat bulan kepada atlet wushu negara, Tai Cheau Xuen yang didapati positif menggunakan bahan terlarang di Sukan Asia 2014 Incheon September lalu.

Menurut Naib Presiden Persekutuan Wushu Malaysia (WFM) Chong Kim Fatt, Cheau Xuen digantung daripada menyertai sebarang kejohanan wushu hingga 20 Mac 2015.

“WFM menerima surat Selasa lalu dari IWUF selepas rayuan dikemukakan Chef de Mission Sukan Asia 2014 Incheon, Datuk Danyal Balagopal yang juga Naib Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM),” katanya dalam satu kenyataan semalam.

 Jelasnya, rayuan Danyal sebelum ini disokong Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Majlis Sukan Negara (MSN) dan Institut Sukan Negara (ISN).

“Danyal sebelum ini mengakui Cheau Xuen tidak berniat mengambil bahan terlarang itu dan menganggap atlet itu mangsa keadaan kerana mengambil makanan tambahan kesihatan dan ubat pelangsing badan.

“WFM menyesali insiden berkenaan dan meminta maaf kepada semua yang terbabit serta menerima keputusan IWUF,” katanya.

Kata Kim Fatt, WFM masih mempunyai keyakinan terhadap Cheau Xuen kerana tanggungjawab dan disiplin yang dipamerkannya, serta berharap semua terbabit dalam sukan itu memberi sokongan kepadanya.

“WFM juga bersedia bekerjasama dengan semua agensi kerajaan dalam bidang sukan untuk mendidik atlet mengenai kesedaran bahan terlarang dan hukuman yang bakal menanti,” katanya.

Cheau Xuen yang menghadiahkan pingat emas pertama Malaysia dalam acara nandao dan nanquan wanita merupakan atlet keempat gagal ujian doping di temasya berkenaan.

Dia sudah memulangkan pingat emas dan bahan terlarang, siburtramin sejenis dadah yang boleh mengawal berat badan, dan sering terdapat dalam pil diet, produk melangsingkan badan dan minuman tenaga.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Disember 2014 @ 6:39 AM