CHONG Kim Fatt.
CHONG Kim Fatt.
Mohd Amin Jalil


SUKAN wushu terus mendapat pengiktirafan antarabangsa apabila acara itu akan dipertandingkan pada Sukan Olimpik Junior 2022 di Afrika Selatan.

Perkara itu dimaklumkan Presiden Persekutuan Wushu Malaysia (WFM), Datuk Chong Kim Fatt yang menjelaskan ia kali pertama sukan wushu dipertandingkan di temasya berprestij itu.

Katanya, sebanyak empat kategori dipertandingkan yang membabitkan kategori umur bawah 18 tahun.

"WFM baru mendapat maklumat ini seminggu yang lalu dan kita melihat ia suatu perkembangan baik dan positif apabila sukan wushu terus mendapat pengiktirafan di peringkat antarabangsa.

"Perkembangan ini menuntut tugas yang mencabar bagi kita (WFM) dalam mempersiapkan atlet mampu layak ke Olimpik Junior itu dan seterusnya berkeupayaan untuk bersaing di temasya berkenaan," katanya di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Kim Fatt yang juga Presiden Persekutuan Wushu, Tarian Singa dan Naga Negeri Sembilan berkata, ketika ini ramai kalangan atlet wushu negara yang mewakili negara di pentas antarabangsa berumur antara 15 dan 16 tahun.

Beliau berkata, situasi itu tidak mengizinkan mereka beraksi di pentas Olimpik kerana mereka akan mencapai umur lebih 18 tahun pada 2022 sekali gus tidak berpeluang untuk dipilih.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 January 2020 @ 10:03 PM