Oleh Azlan Muhammad Zain


Kuala Lumpur: Cabaran besar buat Chef-de-mission negara Datuk Mohamad Norza Zakaria bagi memastikan kontinjen negara di Sukan SEA Singapura kali ini bersih daripada isu penggunaan dadah terlarang.

Buat kali pertama dalam sejarah Sukan SEA, di samping menjalankan ujian air kencing, Singapura mewajibkan ujian darah terhadap atlet yang bertanding pada temasya dwitahunan Jun ini.

Lebih menyukarkan apabila temasya edisi ke-28 tidak mempunyai perkampungan sukan dengan atlet bertanding akan di tempatkan di sekitar hotel republik itu.

“Kami sudah memberikan garis panduan kepada atlet selain mempunyai portal maklumat kepada atlet dalam dan luar pertandingan.

“Kita tidak mahu berulangnya kes wushu sebagai contoh, membeli pil kurus di Internet yang mempunyai bahan terlarang. Kami perlu memberi kesedaran kepada atlet bahawa mereka sudah memegang tanggungjawab negara,” kata Norza semalam.

Isu penggunaan bahan terlarang membayangi arena sukan negara sejak kebelakangan ini dengan dua kes menggemparkan tahun lalu membabitkan atlet wushu Tai Cheau Xuen di Sukan Asia 2010 dan ikon badminton Datuk Lee Chong Wei.

Tambah Norza, jumlah kontinjen negara yang dihantar dijangka mencecah sehingga 800 atlet dengan peranan efektif pengurus pasukan amat diperlukan bagi memastikan semuanya berjalan lancar.

“Berdasarkan prestasi Sukan Asia Incheon dan Glasgow tahun lalu, sudah pasti misi kita meraih keputusan baik. Namun ia perlu mengambil kira kualiti persediaan termasuk membabitkan pengurus pasukan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 January 2015 @ 7:04 AM