KUALA LUMPUR 25 MAC 2018. Anggota STAFOC menyertai perbarisan ketika sambutan Hari Polis ke-211 2018 di Pusat Latihan Polis (PULAPOL) Kuala Lumpur. NSTP/ASYRAF HAMZAH
KUALA LUMPUR 25 MAC 2018. Anggota STAFOC menyertai perbarisan ketika sambutan Hari Polis ke-211 2018 di Pusat Latihan Polis (PULAPOL) Kuala Lumpur. NSTP/ASYRAF HAMZAH
Hairulazim Mahmud dan Anis Hazim Sharuddin


“SAYA yakin dengan penyusunan baru ini peranan PDRM (Polis Diraja Malaysia) akan lebih berkesan lagi,’’ kata Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau yang menyambut baik penstrukturan dan pembubaran tiga pasukan elit PDRM iaitu Pasukan Tindakan Khas Anti Maksiat, Judi dan Gangsterisme (STAGG), Pasukan Khas Taktikal Narkotik (STING) serta Pasukan Petugas Khas Jenayah Terancang (STAFOC) itu berkata, langkah itu untuk mengelakkan pertindihan tugas dalam jabatan di dalam pasukan berkenaan.

Katanya, kewujudan pasukan terbabit sebelum ini menyebabkan fungsi dan tugas yang bertindan dan tidak wajar diteruskan.

“Ia salah satu tindakan oleh PDRM dalam usaha kita untuk lakukan pembaharuan dan didapati kalau ada pertindihan fungsi pasukan-pasukan maka tidak wajar diteruskan,” katanya kepada media selepas hadir Majlis Penyampaian Sumbangan Kebajikan sempena Tan Sri Muhyiddin Charity Golf di Seri Kembangan, hari ini.

Semalam, Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, sehingga kini 60 peratus arahan kepada pegawai dan anggota sudah dikeluarkan.

Pasukan itu kini dalam proses menukar dan menempatkan semula pegawai serta anggota susulan penstrukturan semula tiga pasukan khas itu.

Ia membabitkan kira-kira 600 pegawai dan anggota.

Semua pasukan berkenaan ditubuhkan pada tahun 2014 ketika era Tan Sri Khalid Abu Bakar menjawat jawatan Ketua Polis Negara.

STAGG menjalankan fungsi yang sama dengan D7A (Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat) dan D7C (Unit Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran).

Manakala itu, STING pula menjalankan peranan yang sama dengan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman.

Muhyiddin berkata, langkah itu adalah yang terbaik untuk PDRM dalam usaha memastikan pasukan dapat melaksanakan tugasnya dengan lebih baik dan cemerlang kepada masyarakat.

Berita berkaitan:

  • Tak dapat tahan sebak
  • STAGG, STING, STAFOC dimansuh
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 April 2019 @ 9:05 PM