ANTARA panorama menarik ketika melalui laluan silara.
ANTARA panorama menarik ketika melalui laluan silara.
Hafiz Ithnin


SEBAIK sahaja memuat naik satu gambar destinasi ini di media sosial milik peribadi penulis, ramai rakan-rakan maya mula bertanya.

Hakikatnya, laluan silara di Rainforest Discovery Center (RDC) di Sepilok, Sabah antara permata tersembunyi yang wajib dilawati jika anda bertandang ke Sandakan.

Lokasinya juga tidak begitu jauh dari bandar Sandakan iaitu hanya 19 kilometer (km) dan 'berjiran' dengan lokasi pelancongan terkenal iaitu Pusat Rehabilitasi Orang Utan dan Pusat Perlindungan Beruang Matahari.

Mempunyai laluan sejauh 620 meter, laluan silara itu dikenali sebagai Rainforest Sky Walk adalah yang paling terpanjang di Sabah dan menjadi produk pelancongan ikonik di Sandakan.

Laluan silara itu yang merentasi pelbagai pokok dengan ketinggian paling tinggi 25 meter dari aras tanah sememangnya memberi pengalaman baharu untuk menikmati alam semula jadi dari aras mata burung.

Penulis yang kali pertama ke destinasi itu bersama deligasi media tempatan dan ejen pelancongan anjuran Tourism Malaysia Sabah baru-baru ini memberi pengalaman yang cukup bermakna.

Sepanjang berada di laluan silara itu, rakan media lain termasuk penulis turut terpesona dengan keindahan berjalan dari aras tinggi.

Tambah menarik sepanjang aktiviti menerokai lokasi itu, kami ditemani Ketua Pendidikan Alam Sekitar dan Komunikasi RDC, Hubert Petol yang mempunyai pengalaman luas mengenai destinasi itu. Malah, segala soalan yang diajukan mampu dijawab dengan baik.

Bercerita mengenai destinasi itu, Hubert berkata, laluan silara itu antara salah satu tarikan dalam RDC yang terletak dalam Hutan Simpan Kabili.

"Luas hutan simpan ini adalah kira-kira 4,294 hektar dan hanya lebih 400 hektar dibangunkan bagi aktiviti pelancongan pendidikan alam sekitar.

"RDC bermula pada 1997 hanya terdapat beberapa bangunan kecil dan matlamatnya dari dahulu adalah sama iaitu memberi pendidikan kepada kanak-kanak khasnya mengenai kepentingan menjaga alam semula jadi. Kedua, ia menjadi destinasi pelancongan di Sandakan ini sendiri," katanya.

Jelasnya, memandangkan laluan di RDC yang dibangunkan berbentuk 'looping', ia menjadi laluan popular bagi mereka yang gemar melakukan aktiviti menerokai laluan denai.

LALUAN ‘looping’ memudahkan pengunjung menerokai RDC.
LALUAN ‘looping’ memudahkan pengunjung menerokai RDC.

"Selain itu, bagi peminat pemerhati burung, RDC juga menjadi destinasi popular untuk melihat pelbagai spesies burung yang berterbangan bebas di kawasan itu.

"Di sini dikatakan ada lebih 300 spesies burung dan kebiasaannya pemerhati burung dapat melihat kira-kira 140 spesies sahaja. Jadi, pemerhati burung terutama yang gemar merakam foto burung, mereka akan datang ke sini lebih awal," katanya.

Mengenai laluan silara itu, ia mula dibina menerusi Rancangan Malaysia ke-8 pada 2003 termasuk kerja membangunkan dua menara.

Ketika berjalan melaluinya, perkara yang paling menarik perhatian penulis ialah terdapat menara tinjau yang diberi nama Bristlehead, Trogon dan Menara Hornbil.

Menara Hornbil adalah paling tinggi berbanding dua menara tinjau yang lain yang turut memberi peluang kepada pengunjung untuk merakam panorama menarik di atasnya.

Hubert berkata, laluan silara itu adalah selamat untuk dilawati pengunjung kanak-kanak terutama kerana terdapat penghadang yang tinggi dan ia sentiasa diselenggara dari masa ke masa.

"Apabila kanak-kanak datang ke sini sama ada bersama guru atau keluarga, mereka dapat melihat bukan sahaja burung, tetapi pelbagai jenis pokok dan haiwan liar lain.

"Malah, maklumat mengenai spesies flora dan fauna itu ditulis di papan maklumat di

tepi laluan silara ini bagi membolehkan pengunjung mendapat maklumat tepat mengenai hidupan di hutan simpan ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 November 2022 @ 7:00 AM