RAJA Muda Selangor Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah (tengah) mencemar duli bergambar bersama pasukan renang Selangor.
RAJA Muda Selangor Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah (tengah) mencemar duli bergambar bersama pasukan renang Selangor.

Kuching: Selangor menambah empat lagi emas dan melakukan rekod baru temasya pada hari terakhir acara renang di Sukan Malaysia (SUKMA) Sarawak sekali gus membuktikan dominasi mereka di temasya ini.

Kejayaan diraih dalam acara 1,500 gaya bebas lelaki melalui Yeap Zheng Yang dengan catatan 16 minit 10.27 saat, 100m kuak lentang wanita, Caroline Chan (1:06.42s) dan 4x100 rampaian lelaki (3:49.98s) serta wanita (4:23.54s) yang menyaksikan mereka meraih keseluruhan 20 pingat emas daripada 38 dipertandingkan.

Ia pungutan emas terbanyak diraih sesebuah negeri dalam satu acara sepanjang sejarah SUKMA, memadamkan rekod sebelum ini, 17 emas, 12 perak dan tujuh gangsa yang dilakukan pasukan renang Wilayah Persekutuan di Melaka pada 2010.

Pengurus renang Selangor, Mark Chua mengakui kejayaan berkenaan dicapai berdasarkan program pembangunan yang dilakukan sejak 2006.

“Sebelum ini prestasi terbaik kami adalah 14 emas pada 1998 dengan 11 emas diraih Marilyn Chua. Jadi ini pencapaian istimewa buat kami.

“Sembilan dari 20 perenang yang membarisi skuad kali ini kali pertama beraksi di SUKMA dan memberikan persembahan terbaik, manakala perenang senior pula menunjukkan peningkatan,” katanya.

Tuan rumah, menamatkan saingan di tempat kedua keseluruhan selepas mengumpul enam emas, tiga perak dan empat gangsa. Wilayah Persekutuan pula membawa pulang lima emas, 14 perak dan sembilan gangsa.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Julai 2016 @ 9:35 AM