Nurul Huda Kosnon


Kuala Lumpur: Tarian Bhangra biasanya dipersembahkan untuk majlis perkahwinan masyarakat India, namun satu pasangan pengantin Melayu membawa kelainan apabila tarian berkenaan dipersembahkan ketika majlis persandingan mereka di Singapura, baru-baru ini.

Rakaman video memaparkan pasangan berkenaan diiring dua lelaki menarikan tarian itu dengan lagu 'Pokkiri Pongal' hingga ke pelamin, ditonton lebih 150,000 serta dikongsi lebih 5,000 pengguna Facebook.

Menurut penari yang bekerja sebagai pemandu teksi, Faizal Syed Ahmad, 33, ia berlaku secara kebetulan tanpa sebarang perancangan pada majlis perkahwinan sepupunya, Suaidah Mohd Ismail, 27, di Tampines, Singapura.

"Saya bersama adik, Muhammad Farit Ismail, 26, merancang mengenakan pakaian bertema India pada hari berkenaan selain mahu menghiburkan pengantin dan tetamu bagi memeriahkan majlis.

“Kami kemudian menarikan tarian itu dengan lagu Tamil," katanya ketika dihubungi di Woodlands, Singapura.

Menurutnya, dia tidak menyangka rakaman video berkenaan menjadi viral bukan saja di Singapura malah di Malaysia.

“Saya tidak pasti siapa yang merakam video itu dan menyiarkannya di FB. Saya dan adik hanya mahu membawa kelainan.

“Namun kami gembira dengan reaksi positif pengguna FB yang rata-ratanya memuji tarian kami.

"Alhamdulillah, ketika itu, pengantin dan semua yang hadir memberi sambutan menggalakkan malah ada antara mereka yang bangun sebagai tanda sokongan kepada kami," katanya.

Menurutnya, sudah menjadi kebiasaan di Singapura tarian Bhangra dipersembahkan kepada pengantin dan tetamu.

https://youtu.be/0ljU2-ffBhE

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Julai 2016 @ 10:23 PM
Faizal Syed Ahmad dan adiknya, Muhammad Farit Ismail ketika menarikan tarian Bhangra. - Foto FB
Faizal Syed Ahmad dan adiknya, Muhammad Farit Ismail ketika menarikan tarian Bhangra. - Foto FB