Anggota Bomba dan Penyelamat Johor mengangkat mayat mangsa yang ditemui semalam. - Foto BERNAMA
Anggota Bomba dan Penyelamat Johor mengangkat mayat mangsa yang ditemui semalam. - Foto BERNAMA
Mohamad Fahd Rahmat


Johor Bahru: Dua lagi mayat mangsa bot karam ditemui di pantai Batu Layar Pengerang Kota Tinggi pagi ini, menjadikan jumlah yang dijumpai setakat ini 11 mayat.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Rahmat Othman berkata, dua mayat lelaki itu dijumpai terdampar dalam keadaan terlungkup kira kira 500 meter dari lokasi bot dilaporkan karam dengan jarak antara mayat itu kira kira 200 meter.

"Misi mencari dan menyelamat (SAR) masih diteruskan hari ini bagi mencari mangsa lain dan kekuatan anggota mencari ditambah menjelang petang ini," katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata, setakat ini jumlah mayat yang ditemui ialah empat lelaki, enam perempuan dan seorang bayi perempuan.

Jumlah mangsa yang terselamat ialah 34 dengan 26 lelaki dewasa dan lapan wanita dewasa yang kini berada dalam tahanan.

Bot itu dinaiki kira-kira 60 pendatang asing tanpa izin yang dipercayai dalam perjalanan keluar dari negara ini menuju Batam, Indonesia.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Julai 2016 @ 3:47 PM