PASUKAN SAR membawa naik mayat lelaki yang ditemui  jam 12 tengah hari, semalam.
PASUKAN SAR membawa naik mayat lelaki yang ditemui jam 12 tengah hari, semalam.
myMetro

Kota Tinggi: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) bagi mengesan baki 15 penumpang bot pancung yang terbalik di perairan Batu Layar, Pengerang, pada hari keempat semalam menemukan satu lagi mayat mangsa nahas itu.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Rahmat Othman berkata, mayat lelaki dewasa itu ditemui nelayan kira-kira jam 12 tengah hari kira-kira 1.8 kilometer di perairan Laut Batu Berlubang, Bandar Penawar.

“Mayat berkenaan dijumpai kira-kira 11 km dari lokasi kejadian.

“Mayat dibawa ke pantai Teluk C Bandar Penawar dan seterusnya ke Hospital Kota Tinggi (HKT) untuk tindakan selanjutnya,” katanya ketika dihubungi semalam.

Beliau berkata, SAR pada hari keempat itu masih diteruskan dengan kekuatan empat anggota Pasukan Polis Marin (PPM) di laut dan tiga di darat dan dibantu enam anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM).

“Turut terbabit 10 anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM), dua anggota dari Balai Polis Sungai Rengit serta dua pegawai wakil konsulat Indonesia,” katanya.

Katanya, setakat ini jumlah mayat yang ditemui lapan lelaki, enam perempuan dan seorang bayi perempuan.

“Setakat ini SAR dilakukan menemukan seramai 15 mangsa dan usaha menjejaki mereka masih dilakukan,” katanya.

Akhbar ini melaporkan perjalanan pulang sekumpulan 63 warga Indonesia menaiki bot pancung ke Batam, Indonesia berakhir tragedi apabila sembilan daripadanya maut dalam kejadian bot karam di perairan batu Layar, Pengerang di sini, petang Sabtu lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Julai 2016 @ 9:23 AM