KEMALANGAN maut di Jalan Tuaran Bypass. FOTO ihsan Polis
KEMALANGAN maut di Jalan Tuaran Bypass. FOTO ihsan Polis
Ardyhansah Amat


Kota Kinabalu: Lelaki maut manakala wanita cedera selepas motosikal yang dinaiki mereka merempuh kereta di Jalan Tuaran Bypass, di sini, malam tadi.

Dalam kejadian 8.20 malam itu mangsa, Herwan Jaip, 25, maut di lokasi kejadian selepas mengalami kecederaan di beberapa anggota badan manakala pemboncengnya, Nurul Asmimar Sulaiman, 21, cedera di muka.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner M Chandra berkata, pemandu kereta, seorang wanita berusia 28 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.

"Sebelum kejadian, kereta yang dalam perjalanan dari Telipok menuju ke One Borneo, membuat pusingan U berhampiran Kampung Rampayan.

"Dalam masa sama, mangsa yang berada di lorong bertentangan juga sedang melalui kawasan tersebut sehingga menyebabkan rempuhan berlaku.

"Siasatan awal mendapati kemalangan itu berpunca daripada tindakan pemandu kereta kerana tidak memberi laluan kepada penunggang motosikal yang berada di laluan utama," katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 Julai 2016 @ 2:48 PM