LAKONKAN watak anak gengster dalam cerita kepolisan, KL Special Force.
LAKONKAN watak anak gengster dalam cerita kepolisan, KL Special Force.
Ridzuan Abdul Rahman


Agak lama menyepi diri dari bidang seni, rezeki pelakon Tania Hudson nampaknya bersama Skop Productions Sdn Bhd.

Selepas berlakon sebagai Yana dalam filem Abang Long Fadil 2, dia ditawarkan terbabit dalam filem KL Special Force pula.

Penggambaran filem arahan Syafiq Yusuf ini berjalan 50 peratus dan bakinya akan disambung dalam masa terdekat ini.

Tania, 31, berkata, dia melakonkan watak anak gengster dalam cerita kepolisan yang turut menampilkan Datuk Rosyam Nor dan Fattah Amin.

“Ini filem lakonan saya yang kedua bersama Syafiq selepas Abang Long Fadil 2. Dia pengarah muda yang kreatif dan tampil dengan idea segar. Tak dinafikan saya senang bekerjasama dengannya.

“Sebelum ini saya menghidap penyakit Arteriovenous Malformation (AVM) iaitu pengumpulan saluran darah secara tidak normal dalam otak pada 2009. Bagaimanapun, saya kini sudah pulih sepenuhnya.

“Itulah sebabnya saya berani berlakon dalam cerita aksi ini. Asalkan tiada babak yang membabitkan bahagian kepala kerana saya perlu berhati-hati agar tidak berlaku kecederaan,” katanya.

Turut membintangi drama Kasih Dari Langit, Tania mengakui sangat teruja untuk kembali aktif berlakon seperti dulu.

“Saya berhenti sementara pada 2008 akibat masalah kesihatan. Tiada yang dikesalkan kerana ada hikmahnya setiap perkara yang berlaku. Semangat saya untuk kembali berlakon semakin meluap-luap apabila membintangi filem Abang Long Fadil 2 tahun lalu.

“Kali ini saya benar-benar serius nak berlakon dan tak memilih watak. Kalau rasa sesuai pasti saya akan ambil. Dah lama saya berhenti berlakon, jadi sudah tentunya saya perlu tingkatkan semula lakonan.

“Diharapkan kemunculan semula saya ini akan dapat sokongan semua pihak terutama peminat kerana mereka memainkan peranan penting dalam populariti seseorang artis,” katanya.

Menurut Tania, dia kini mula berjinak-jinak dengan media sosial yang dapat membantunya untuk dikenali ramai.

“Jujur saya akui saya baru aktif terbabit dengan Instagram. Sebelumnya memang ada tapi rasanya saya tak fokus sangat. Sekarang barulah saya nampak kelebihan media sosial dalam hidup seseorang artis.

“Saya juga perlu rajin berinteraksi dengan peminat di media sosial tapi itu bukan bermakna saya perlu melayan atau melatah dengan komen sebahagian mereka yang nakal. Saya memang tak ambil peduli hal ini,” katanya yang turut membintangi filem Paradoks.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Julai 2016 @ 12:38 PM