DUA orang dilihat meredah angin kencang dibawa Taufan Nepartak di Taitung.
DUA orang dilihat meredah angin kencang dibawa Taufan Nepartak di Taitung.

Taipei: Lebih 15,000 orang dipindahkan dan ratusan penerbangan dibatalkan manakala sekolah serta pejabat ditutup apabila Taufan Nepartak membadai sebahagian Taiwan semalam dengan membawa angin kencang paling kuat sejak lebih seabad.

Taufan itu membadai pekan Taimali di wilayah Taitung jam 6.30 pagi waktu tempatan semalam dengan membawa hujan lebat dan angin kencang sehingga 200 kilometer sejam.

Menurut Biro Pusat Cuaca Taiwan, angin kencang yang melanda Taitung itu yang paling kuat sejak 1901.

Mayat seorang askar yang jatuh ke dalam laut di Pulau Dongyin, ditemui semalam, sehari selepas seorang lelaki mati lemas di sebuah pantai di daerah Hualien.

Lebih 15,000 orang meninggalkan kediaman yang terdedah kepada tanah runtuh atau banjir dan kira-kira 3,600 kini berada di pusat perlindungan.

Kelmarin, anggota tentera pergi dari rumah ke rumah di kawasan pergunungan terpencil menggesa penduduk kampung meninggalkan rumah mereka.

Seramai 466,000 isi rumah mengalami gangguan elektrik berikutan ribut, dengan 125,000 lagi masih bergelap setakat petang semalam.

Kebanyakan penerbangan domestik dibatalkan manakala 500 penerbangan antarabangsa terjejas. Pasaran kewangan turut ditutup, begitu juga perkhidmatan kereta api. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 Julai 2016 @ 6:26 AM