KETUA Pengarah JPJ, Datuk Nadzri Siron (dua kiri) bersama , Pengarah Urusan PLUS Malaysia Bhd, Datuk Noorizah Abd Hamid.(kanan) dan Pengarah Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) Perak, Laila Mazwin Zakaria (kiri), melawat tapak pameran JPJ Negeri Perak di RNR Tapah arah utara. FOTO L Manimaran
KETUA Pengarah JPJ, Datuk Nadzri Siron (dua kiri) bersama , Pengarah Urusan PLUS Malaysia Bhd, Datuk Noorizah Abd Hamid.(kanan) dan Pengarah Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) Perak, Laila Mazwin Zakaria (kiri), melawat tapak pameran JPJ Negeri Perak di RNR Tapah arah utara. FOTO L Manimaran
Muhammad Apendy Issahak


Tapah: Sebanyak 8,247 kesalahan dikesan pihak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dalam Ops Hari Raya Aidilfitri (HRA) 2016 yang dilancarkan sejak 29 Jun lalu hingga semalam.

Ketua Pengarah JPJ Datuk Nadzri Siron berkata, daripada jumlah itu kesalahan yang paling banyak direkodkan adalah tiada cukai jalan serta insurans pelindungan dan tiada lesen memandu.

Menurutnya, antara kesalahan paling serius yang berjaya dikesan pula adalah pemandu bas ekspres yang didapati positif dadah.

"Jumlah keseluruhan kenderaan yang diperiksa sejak Ops HRA 2016 dilancarkan adalah sebanyak 20,436 kenderaan pelbagai jenis.

"Daripada jumlah itu sebanyak 8,247 kesalahan dikesan dan 5,636 kes sudah diambil tindakan dengan kesalahan paling banyak dicatatkan adalah tiada cukai jalan serta insurans pelindungan iaitu sebanyak 2,494 kes dan tiada lesen memandu (2,438) kes," katanya ketika ditemui selepas membuat pemantauan melalui udara bersama PLUS Malaysia Berhad sempena Ops HRA 2016 di sini sebentar tadi.

Menurutnya, pada hari ini sahaja seramai 1,000 anggota bersama 302 kenderaan ronda JPJ menjalankan operasi ini di sepanjang lebuh raya dan jalan persekutuan seluruh negara bagi mengesan pengguna laluan berkenaan yang melakukan kesalahan lalu lintas terutama menggunakan lorong kecemasan ketika kesesakan berlaku.

"Setakat ini seorang pemandu bas ekspres sudah ditahan kerana didapati positif dadah dan empat lori sudah diambil tindakan kerana melanggar perintah larangan kenderaan berat yang berkuatkuasa hari ini.

"Bagi aliran trafik pula setakat pagi tadi lalu lintas masih lancar dan tiada kemalangan dikesan di Lebuhraya PLUS dan kenderaan dijangka akan mula bertambah bermula lewat petang ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 Julai 2016 @ 2:27 PM