WELSON beraksi dalam acara 1,500 meter gaya bebas lelaki.
WELSON beraksi dalam acara 1,500 meter gaya bebas lelaki.
Aida Adilah Mat

Shah Alam: Kuakan bertenaga Welson Sim membolehkan atlet Sarawak itu merangkul slot keempat ke temasya Olimpik menerusi kategori B dalam acara 1,500 meter gaya bebas.

Welson mencatat masa 15 minit 35.63 saat melepasi masa bagi kategori B 15:46.79s sekali gus meraih emas ketiga peribadi pada hari terakhir Kejohanan Renang Terbuka Malaysia di Pusat Akuatik Darul Ehsan, semalam.

Pingat perak menjadi milik perenang India, Sajan Prakash 15:47.68s dan gangsa milik Aflah Fadlan Prawira dari Indonesia 16:00.79s.

“Saya gembira dengan kejayaan meraih emas ketiga ini dan saya hadiahkan emas ini kepada emak saya sempena hari ibu.

“Biarpun masa kelayakan untuk kategori A itu masih jauh namun melepasi syarat kelayakan dan mendapatkan satu lagi slot ke Olimpik dalam acara 1,500m sudah cukup membuatkan saya puas hati,” katanya yang perlu mengatasi masa 15:14.77s untuk kategori A.

Bulan lalu Welson muncul atlet pertama negara berjaya mendapat dua slot secara merit ke Olimpik Rio menerusi acara 200 dan 400m. Selain itu dia turut melepasi syarat kategori B dalam acara 100m.

Mengulas mengenai perancangannya selepas ini, pemegang rekod kebangsaan acara 200 dan 400m gaya bebas itu berkata, dia akan berlepas ke Melbourne Sabtu ini untuk menjalani latihan intensif selama dua minggu.

Peluang berlatih bersama perenang nombor satu dunia dalam acara 400m dan 1,500 Mack Horton dari Australia mampu mencetus inspirasi buatnya untuk terus melakar masa lebih baik dalam acara 1,500m.

Bagaimanapun Welson mengakui sukar baginya untuk mendapatkan tempat bagi kategori A dalam acara 1,500m namun itu bukan alasan untuk dia tidak mencuba.

“Saya masih ada lagi tiga peluang apabila menyertai sirkit Mare Nostrum di Eropah bulan depan membabitkan pertandingan di Barcelona, Monaco dan Cannes di Perancis,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Mei 2016 @ 7:44 AM