Anggota bomba bertungkus lumus memadamkan kebakaran, manakala Roshidin (gambar kecil) sebak apabila hilang tempat tinggal. FOTO Mohd Adam Arinin
Anggota bomba bertungkus lumus memadamkan kebakaran, manakala Roshidin (gambar kecil) sebak apabila hilang tempat tinggal. FOTO Mohd Adam Arinin
Mohd Ruzaini Zulkepli

Putatan: Kegirangan menyambut Aidilfitri esok bertukar pilu buat lapan keluarga selepas kediaman dihuni mereka musnah dalam kebakaran di Kampung Linsuk Bersatu, dekat sini, petang tadi.

Dalam kejadian 3.30 petang itu, lapan rumah musnah terbakar, namun tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan.

Seorang mangsa, Roshidin Musa,50, ketika ditemui di tempat kejadian berkata, dia tidak berada di rumah kerana sedang sibuk membeli persiapan raya di Putatan sebelum dikejutkan oleh panggilan jiran mereka berhubung kebakaran itu.

"Saya dan isteri bersama dua anak perempuan kami sedang sibuk membeli persiapan terakhir untuk hari raya esok sebelum dihubungi oleh jiran yang mengatakan rumah kami sedang terbakar.

"Kami sekeluarga bergegas pulang dan terkejut apabila rumah sedang terbaka," katanya.

Tambah Roshidin, apa membuatnya bertambah hiba apabila rumah yang didiami lebih 10 tahun itu sudah dihiasi pelbagai persiapan Aidilfitri serta juadah kuih raya.

"Kini yang tinggal hanya adalah pakaian kami ini sahaja memandangkan tiada seorang daripada kami pun berjaya menyelamatkan apa-apa.

"Selepas ini, kami sekeluarga terpaksa tinggal di dewan serbaguna sementara menanti bantuan lanjut, katanya.

Sementara itu,Timbalan Ketua Zon 1 Sabah, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah Jupiri Apou berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 3.51 petang sebelum sepasukan anggota dikejarkan untuk operasi memadam.

"Berdasarkan maklumat awal, kebakaran itu membabitkan lapan buah rumah yang musnah dalam kejadian di Kampung Linsuk Bersatu, ini.

"Lima jentera dengan kekuatan seramai 25 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Penampang dan BBP Kota Kinabalu terbabit dalam operasi memadamkan api kebakaran yang berjaya dikawal sepenuhnya kira-kira jam 4.30 petang," katanya.

Jupiri berkata, tiada kemalangan jiwa atau kecederaan berlaku dalam kebakaran itu sementara punca serta jumlah kerugian masih disiasat.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Julai 2016 @ 6:46 PM