ANGGOTA bomba memadam kebakaran rumah di Kampung Pak Wong, Jertih, Besut, petang ini. FOTO Nurul Fatihah Sulaini
ANGGOTA bomba memadam kebakaran rumah di Kampung Pak Wong, Jertih, Besut, petang ini. FOTO Nurul Fatihah Sulaini
Nurul Fatihah Sulaini


Besut : "Saya terkejut tengok rumah terbakar ketika balik dari membeli juadah berbuka puasa di bazar Ramadan," kata Mohamad Nadri Haris, 56.

Nadri yang juga seorang pesara, berkata, ketika kejadian dia sempat menyelamatkan motosikal serta kereta yang diletakkan di hadapan rumah.

"Saya keluar rumah sejak jam 11 pagi kemudian sebelum pulang berbuka puasa sempat singgah membeli sedikit makanan di Kampung Kerandang.

"Apabila sampai ke rumah terkejut tengok api tengah marak," katanya ketika ditemui di Kampung Pak Wong, di sini, hari ini.

Katanya, dia tinggal berdua bersama isteri Zubidah Mamat, 50, sejak lapan tahun lalu tetapi ketika kejadian isteri belum pulang dari tempat kerja di Kampung Binjai Rendah, Marang.

"Selain barangan rumah, turut musnah persiapan menyambut raya Aidilfitri minggu depan seperti pakaian raya serta biskut raya.

"Walaupun rasa sedih apabila semua persiapan raya musnah namun kami reda serta bersyukur kerana tidak membabitkan kemalangan jiwa," katanya.

Dalam pada itu Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jertih, Mohamad Jusoh berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 5.42 petang.

"Proses memadam kebakaran mengambil masa kira-kira 10 minit bagi mengawal serta memadam kebakaran.

"Punca sebenar kebakaran masih dalam siasatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 April 2024 @ 10:53 PM