JURULATIH Iceland, Heimir Hallgrimsson (kiri) bersama pemain pertahanan, Ragnar Sigurdsson ketika aksi Kumpulan D menentang Nigeria di Stadium Volgograd Arena. FOTO AFP
JURULATIH Iceland, Heimir Hallgrimsson (kiri) bersama pemain pertahanan, Ragnar Sigurdsson ketika aksi Kumpulan D menentang Nigeria di Stadium Volgograd Arena. FOTO AFP
AFP

VOLGOGRAD, Russia: Jurulatih Iceland, Heimir Hallgrimsson berkata skuad kendaliannya masih berpeluang untuk berada di peringkat 16 terakhir Piala Dunia meskipun dipalit kekalahan 0-2 kepada Nigeria, awal pagi tadi.

Iceland tidak lagi bergantung terhadap nasib sendiri, dengan Nigeria akan menyertai Croatia dari Kumpulan D jika mereka menewaskan Argentina, minggu depan.

Tetapi jika keputusan lain dicatatkan pada perlawanan berkenaan, mereka masih berpeluang meloloskan diri jika meraih kemenangan ke atas Croatia pada aksi yang berlangsung pada masa yang sama.

Iceland mengatasi Croatia pada aksi kelayakan Piala Dunia Eropah untuk menempah tiket ke Russia manakala negara di Timur Eropah itu memerlukan playoff untuk mara.

“Ia adalah fakta yang pelik apabila kamu masih berpeluang,” kata Hallgrimsson selepas perlawanan. “Kami tidak fikir yang kami akan mengharungi Piala Dunia tanpa kalah dan kekalahan sentiasa sesuatu yang pahit untuk ditelan.

“Saya memuji pemain-pemain saya, mereka memberikan segala-galanya, mereka cuba apa yang mereka boleh lakukan dan ia akhirnya ia bukan hari buat kami.”

Hallgrimsson berkata dia kagum bagaimana Croatia yang mendapat inspirasi bintang Real Madrid, Luka Modric mengejutkan Argentina 3-0, semalam.

“Kami hanya perlu menewaskan Croatia,” katanya sambil tersenyum. “Lebih mudah untuk mengatakannya berbanding melakukannya.  

“Kami bermain menentang Croatia empat kali dalam empat tahun dan kami sering seperti pasangan yang berkahwin cuba untuk bercerai tetapi kami sentiasa rujuk semula.”

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 Jun 2018 @ 5:34 AM